Olimpik Musim Sejuk 2026 : WADA pantau dakwaan manipulasi pakaian atlet

FOTO HIASAN

MILAN, 6 Februari – Badan pemantau antidoping Olimpik Musim Sejuk memaklumkan pihaknya akan memantau sebarang bukti berkaitan dakwaan atlet lompatan ski lelaki memanipulasi ukuran badan bagi mendapatkan kelebihan aerodinamik, sekali gus meneliti sama ada perbuatan itu boleh diklasifikasikan sebagai kes doping.

RINGKASAN BERITA AI
  • WADA akan menyiasat dakwaan manipulasi ukuran badan atlet lompatan ski jika ada bukti melanggar takrif doping.
  • Niggli berkata setakat ini tiada bukti kukuh amalan itu berlaku, namun pihaknya akan menelitinya jika ada petunjuk.
  • Isu sensitif kerana manipulasi pakaian pernah mengakibatkan penggantungan atlet dan jurulatih dalam kejadian lalu.

Ketua Pengarah Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), Olivier Niggli berkata, pihaknya akan meneliti dakwaan berkenaan sekiranya terdapat bukti kukuh bahawa amalan tersebut melanggar definisi doping.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Milan menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026, sebagai respons kepada laporan sebuah akhbar Jerman yang mendakwa terdapat perbincangan dalaman mengenai cubaan memanipulasi ukuran imbasan badan tiga dimensi yang digunakan bagi menentukan saiz pakaian pertandingan atlet.

Menurut laporan tersebut, atlet lompatan ski perlu menjalani imbasan badan penuh bagi memastikan pakaian ketat yang dipakai tidak mempunyai lebihan bahan yang boleh memberikan daya angkat tambahan ketika di udara.

Dalam sukan berkenaan, bahagian pakaian dibenarkan mengikut ukuran anatomi atlet, dan sebarang perubahan pada ukuran itu berpotensi memberi kelebihan prestasi.

Laporan akhbar berkenaan turut mendakwa terdapat perbualan dalaman mengenai penggunaan kaedah perubatan tertentu bagi mengubah titik ukuran pakaian, sekali gus membolehkan atlet memperoleh pakaian yang lebih besar dan lebih aerodinamik untuk tempoh musim pertandingan.

Bagaimanapun, Niggli menegaskan WADA setakat ini tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa amalan tersebut benar-benar berlaku.

“Saya tidak mengetahui secara terperinci mengenai sukan lompatan ski dan bagaimana perkara ini boleh meningkatkan prestasi, namun jika terdapat sebarang petunjuk, kami akan menelitinya. Setakat ini, saya belum pernah mendengar mengenai perkara itu,” katanya.

Menurut beliau, WADA hanya akan campur tangan sekiranya kaedah yang digunakan memenuhi takrifan doping dan perkara itu akan diteliti oleh jawatankuasa berkaitan yang menyemak senarai bahan dan kaedah terlarang setiap tahun.

Sementara itu, Persekutuan Ski dan Papan Salji Antarabangsa (FIS) belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen berhubung isu tersebut.

Isu berkenaan mendapat perhatian memandangkan manipulasi pakaian pernah membawa kepada tindakan tatatertib dalam sukan itu sebelum ini.

Pada tahun lalu, dua pemenang pingat Olimpik dari Norway, Marius Lindvik dan Johann Andre Forfang digantung selama tiga bulan selepas pasukan mereka didapati mengubah suai jahitan pakaian di bahagian tertentu semasa Kejohanan Ski Dunia 2025.

Tiga anggota kejurulatihan pasukan itu turut dikenakan penggantungan.

Sementara itu, Presiden WADA, Witold Banka, ketika diminta mengulas laporan berkenaan berkata, beliau akan meneliti perkara tersebut memandangkan sukan ski lompat popular di negara asalnya, Poland.-REUTERS

Ketua Pengarah Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), Olivier Niggli / REUTERS