Nottingham Forest pecat Sean Dyche, selepas 114 hari jadi ketua jurulatih

Sean Dyche/REUTERS

NOTTINGHAM, 12 Februari– Nottingham Forest telah menamatkan perkhidmatan Sean Dyche selepas hanya 114 hari memimpin pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nottingham Forest sahkan Sean Dyche dibebaskan daripada tugas ketua jurulatih selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang Wolves.
  • Kelab kini di tangga ke-17, tiga perlawanan tanpa kemenangan dan satu anak tangga di atas zon penyingkiran dengan 12 perlawanan baki.
  • Forest dijangka cari pengurus keempat musim ini menjelang perlawanan Liga Europa menentang Fenerbahce minggu depan.

Keputusan seri tanpa jaringan Nottinghma menentang Wolverhampton Wanderers pada Rabu menjadi perlawanan terakhir beliau bergelar ketua jurulatih.

Dyche, 54 tahun, menyertai Forest pada Oktober dengan kontrak sehingga musim panas 2027, menjadi pengurus ketiga yang kehilangan jawatan musim ini selepas Nuno Espirito Santo dan Ange Postecoglou meninggalkan kelab.

“Nottingham Forest Football Club mengesahkan bahawa Sean Dyche telah dibebaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih.”

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sean dan kakitangan beliau atas usaha mereka sepanjang tempoh di kelab dan mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depan,” menurut kenyataan rasmi kelab awal pagi Khamis.

Forest kini berada di tangga ke-17 liga selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan, hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran dengan baki 12 perlawanan untuk mengekalkan status mereka di liga utama.

Dyche dilaporkan sudah bersedia dengan kemungkinan pemecatan selepas perlawanan menentang Wolves, di mana Forest gagal menjaringkan gol walaupun melepaskan 35 percubaan.

Kelab itu dijangka mencari pengurus keempat musim ini menjelang perlawanan pertama mereka menentang Fenerbahce dalam saingan Liga Europa pada Khamis depan. -REUTERS