
PUTRAJAYA, 20 Februari – Hala tuju pelan Tangkis 2030 antara yang dibincangkan oleh pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
- Fokus kepada pembinaan sistem kukuh supaya kejayaan badminton negara berterusan, bukan sekadar bermusim.
- Penyelarasan strategi termasuk struktur skuad senior dan junior serta perancangan menuju Olimpik 2028.
- Usaha memperkukuh kelestarian komersial BAM dengan sokongan KBS dan semua pihak.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya juga memaklumkan mengenai fokus jelas terhadap prestasi dan pembangunan bakat pemain badminton negara.
Menurutnya, penyelarasan strategi ini penting bagi memastikan badminton Malaysia terus konsisten dan kompetitif di pentas dunia.
“Kami bentangkan mengenai struktur dan pembangunan skuad senior dan junior; perancangan menuju Olimpik 2028; dan usaha memperkukuh kelestarian komersial BAM,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tengku Zafrul berkata, matlamatnya adalah untuk membina sistem yang kukuh supaya kejayaan bukan sekadar bermusim, tetapi berterusan.
“InsyaAllah, dengan sokongan KBS dan semua pihak, kita teruskan usaha untuk jadikan Malaysia kuasa badminton dunia,” katanya.