
KUALA LUMPUR, 10 Febuari – Majlis Sukan Negara (MSN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Sukan Hong Kong bagi memperkukuh kerjasama dalam dalam bidang sukan berprestasi tinggi serta aspek profesional berkaitan seperti sains sukan dan teknologi latihan.
- MSN dan Institut Sukan Hong Kong menandatangani MoU tiga tahun untuk kerjasama sukan berprestasi tinggi.
- Perkongsian fokus pada sains sukan, analisis prestasi dan teknologi latihan bagi meningkatkan mutu atlet.
- Kerjasama termasuk pertukaran pengetahuan melalui seminar, bengkel dan persidangan bagi disiplin terpilih.
MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif HKSI Tony Choi dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah positif bagi meningkatkan mutu pembangunan sukan dan atlet negara dalam jangka panjang.
“Secara asasnya Hong Kong sudah jauh ke hadapan dalam pembangunan sukan dan atlet mereka.
“Sebab itu kerjasama ini penting supaya kita dapat saling berkongsi kepakaran, belajar daripada mereka dan seterusnya meningkatkan mutu sukan serta atlet negara” katanya
demikian selepas majlis memeterai MoU antara MSN dan Institut Sukan Hong Kong di ibu negara.
Jelas beliau, perjanjian selama tiga tahun itu menyediakan rangka kerja tersusun bagi kedua-dua institusi dalam memajukan kecemerlangan sukan melalui kerjasama antarabangsa.
Tambahnya, kerjasama berkenaan dijangka memberi nilai tambah kepada atlet, khususnya dalam disiplin seperti olahraga, lawan pedang, pelayaran, dan sukan tempur.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua institusi akan berkongsi kepakaran dalam analisis prestasi, sains latihan dan pengurusan atlet berprestasi tinggi, selain membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan menerusi seminar, bengkel dan persidangan.