
KUALA LUMPUR, 1 April– Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan tidak akan mengurangkan saiz kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun tahun ini, meskipun berdepan impak krisis geopolitik di Asia Barat.
- Kriteria kelayakan atlet mungkin diperketat; pemilihan berdasarkan kelayakan dan potensi meraih pingat.
- Keselamatan atlet dan pegawai menjadi keutamaan melalui kerjasama penganjur dan kedutaan, serta akur jika temasya ditangguh atau dibatalkan.
- Krisis menaikkan kos logistik terutama tiket penerbangan; MOM akan runding dengan MSN untuk perincian perbelanjaan dan penjimatan.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan bahawa kontinjen ke Sukan Komanwel dianggarkan melibatkan 50 atlet, manakala Sukan Asia pula dijangka disertai kira-kira 300 atlet, tidak termasuk pegawai.
Tegasnya, kriteria kelayakan atlet ke temasya berkenaan mungkin akan diperketat dan pemilihan atlet tetap bersandarkan kepada kelayakan serta potensi mereka untuk meraih pingat.
“Konflik di Asia Barat sememangnya memberi kesan kepada dunia sukan secara global. Namun, bagi dua temasya ini, kami tidak melihat penganjurannya akan terjejas memandangkan lokasinya yang jauh dari kawasan konflik tersebut.”
“Mengambil kira situasi semasa yang mencabar ketika ini, pihak kami berkemungkinan akan memperketatkan lagi kriteria kelayakan bagi para atlet yang terlibat. Kita tidak akan mengecilkan saiz kontinjen semata-mata kerana faktor kos. Ini kerana pemilihan atlet tetap akan dibuat berdasarkan kelayakan serta potensi mereka untuk meraih pingat,” katanya ketika ditemui di Wisma OCM, hari ini.
Tambahnya, MOM akan terus memantau situasi semasa dan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan sekiranya konflik berlarutan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan atlet dan pegawai tetap menjadi keutamaan melalui kerjasama rapat dengan pihak penganjur serta kedutaan Malaysia di lokasi berkaitan.
“Kami akan akur sekiranya penganjur membuat keputusan besar seperti penangguhan atau pembatalan temasya jika keadaan mendesak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Nasir mengakui konflik tersebut memberi kesan ketara terhadap kos logistik, terutamanya melibatkan harga tiket penerbangan yang melonjak sehingga tiga kali ganda akibat kenaikan harga minyak dan pengurangan operasi penerbangan.
Bagi menangani isu tersebut, MOM akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memperincikan penambahan perbelanjaan serta mengenal pasti ruang penjimatan yang boleh dilaksanakan.
Sukan Komanwel dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, disusuli Sukan Asia pada 19 September hingga 4 Oktober depan.