MFL tunggu keputusan AFC

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac– Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan berhubung isu melibatkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang berdepan tindakan hukuman kes pemalsuan dokumen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat daripada tujuh pemain tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga-M sepanjang penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA.
  • Empat pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
  • AFC merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika untuk pertimbangan lanjut.
  • CAS sebahagiannya menerima rayuan tetapi mengekalkan penggantungan 12 bulan untuk perlawanan rasmi serta mengekalkan denda CHF350,000 terhadap FAM.

Presidennya Datuk Ab Ghani Hassan berkata sebarang langkah seterusnya hanya akan dipertimbang selepas keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) diperoleh.

“Kita di peringkat Liga-Malaysia (Liga-m), MFL akan membuat kenyataan berkenaan kedudukan pemain terlibat selepas AFC membuat kenyataan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran badan pengelola Liga-M itu di Petaling Jaya, semalam.

Sebelum ini, MFL memaklumkan empat daripada tujuh pemain terbabit tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga-M sepanjang tempoh penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Empat pemain itu ialah tiga pemain Johor Darul Ta’zim, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.

AFC sebelum ini memaklumkan perkara berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika badan itu untuk pertimbangan lanjut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai implikasi terhadap skuad kebangsaan serta saingan domestik.

Khamis lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain terlibat terhadap hukuman yang dikenakan oleh FIFA berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Sebagai rekod, tujuh pemain terbabit ialah Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Figueiredo, Irazabal dan Palmero.

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.

Isu berkenaan mula terbongkar pada September tahun lepas selepas FIFA mendapati dokumen dipalsukan digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara yang mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.-BERNAMA