
MEXICO CITY, 12 Februari– Kementerian Pertahanan Mexico pada Rabu memperkukuh sistem keselamatan pemintas dron yang dirancang untuk digunakan sempena sempena Piala Dunia 2026.
- Mexico memperkukuh sistem pemintas dron untuk keselamatan Piala Dunia 2026.
- Demonstrasi menunjukkan gangguan frekuensi, radar pengesanan dan pemintas dron mudah alih.
- Peralatan akan dipasang dalam konfigurasi separa tetap dan mudah alih di lokasi stadium.
- Penyelarasan operasi akan dilakukan bersama agensi berkuasa yang dibenarkan mengendalikan dron.
Menurut Jurutera Komunikasi dan Elektronik Tentera Mexico, Kapten Jose Alfredo Lara, penggunaan teknologi itu disasar membantu melindungi aspek keselamatan stadium di ketiga-tiga venue lokasi perlawanan Piala Dunia, termasuk kawasan penganjuran pesta.
Justeru, satu demonstrasi diadakan di sebuah fasiliti ketenteraan di Mexico City, melibatkan anggota tentera yang memperagakan penggunaan peralatan gangguan frekuensi radio, radar pengesanan serta peranti pemintas dron mudah alih.
“Di lokasi-lokasi ini, peralatan keselamatan akan dipasang dalam konfigurasi separa tetap dan mudah alih. Sistem berkenaan akan beroperasi sepanjang masa bagi memastikan keselamatan, selain penyelarasan akan dilakukan bersama anggota pelbagai institusi dan agensi yang diberi kebenaran mengendalikan dron,” kata Lara.
Mexico akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026 dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Perlawanan di Mexico dijadualkan berlangsung di Mexico City, Guadalajara dan Monterrey.
Kejohanan itu akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026. -REUTERS