Mentaliti pemain kunci kemenangan besar JDT ke atas PDRM

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menyifatkan kemenangan besar pasukannya sebagai bukti mentaliti dan komitmen tinggi setiap pemain apabila diberi peluang, selepas juara bertahan itu membelasah PDRM FC 10-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT tunjuk mentaliti dan komitmen tinggi setiap pemain apabila diberi peluang bermain.
  • Persembahan konsisten tanpa mengira susunan pemain menunjukkan kekuatan skuad Harimau Selatan.
  • Alberto Diaz cemerlang dengan enam gol, menunjukkan fleksibiliti posisi dan peranan menyerang.
  • PDRM kehilangan fokus selepas dua gol awal separuh masa kedua, kesilapan sendiri menjejaskan moral.

Menurut Xisco, persembahan itu mencerminkan keupayaan skuad Harimau Selatan untuk mengekalkan tahap permainan tinggi tanpa mengira pemain yang diturunkan, selain menonjolkan persaingan sihat dalam pasukan.

“Yang paling penting, setiap pemain sentiasa memberi yang terbaik apabila mendapat peluang bermain. Saya yakin Teto (Alberto Diaz) pulang dengan rasa puas hati dan ini menunjukkan semua pemain penting serta perlu bersedia apabila diberi peluang,” katanya.

Perlawanan tersebut menyaksikan pemain sayap import, Alberto Diaz Martin, mencuri tumpuan selepas meledak hatrik berganda, menjaringkan enam gol untuk membantu JDT mencatat kemenangan besar.

Diaz membuka tirai jaringan seawal minit kedua sebelum menggandakan kelebihan lima minit kemudian. Bersambung separuh masa kedua, Nazmi Faiz Mansor menambah gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-48, diikuti jaringan ketiga peribadi Diaz dua minit kemudian.

PDRM FC meraih gol saguhati menerusi Mohamad Imran Samso pada minit ke-60, namun JDT terus mengganas apabila Diaz menambah tiga lagi gol, manakala Marcos Guilherme meledak dua jaringan dan Manuel Hidalgo turut mencatat nama sebagai penjaring, memastikan kemenangan 10-1 berpihak kepada juara bertahan.

Xisco turut memuji fleksibiliti Diaz yang beraksi di posisi tengah dan berperanan sebagai penyerang, selain menyifatkan persembahan itu sebagai petanda positif bagi kempen Piala Malaysia musim ini.

Kemenangan tersebut meletakkan JDT di landasan terbaik untuk mara ke suku akhir menjelang aksi timbal balik yang dijadual berlangsung di venue sama, Sabtu depan.

Sementara itu, Pengurus PDRM FC, Shamshul Hisham Abd Razak, mengakui dua gol awal pada separuh masa kedua menjadi titik perubahan yang menjejaskan fokus pasukannya.

Beliau berkata kebanyakan gol yang dibolosi berpunca daripada kesilapan sendiri, sekali gus memberi kesan besar terhadap moral pemain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.