Mbappe tidak hadir latihan ketika Arbeloa ambil alih Real Madrid

Jurulatih baharu Real Madrid, Alvaro Arbeloa (tengah) mengendalikan sesi latihan pertama selepas menggantikan Xabi Alonso/ AFP

MADRID, 13 Januari – Penyerang Kylian Mbappe tidak kelihatan pada sesi latihan pertama Real Madrid di bawah kendalian jurulatih baharu, Alvaro Arbeloa, pada Selasa, selepas beliau menggantikan Xabi Alonso sebagai ketua jurulatih kelab gergasi Sepanyol itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiadaan Mbappe dalam latihan dianggap logik kerana beliau masih dalam proses pemulihan daripada terseliuh lutut.
  • Arbeloa mengambil alih sebagai jurulatih baharu dan akan memimpin perlawanan Copa del Rey menentang Albacete.
  • Mbappe dijangka tidak diturunkan untuk perlawanan segera dan fokus pada pemulihan untuk Liga Juara-Juara.
  • Xabi Alonso mengakui mengambil risiko menurunkan Mbappe sebelum ini dan berkata beliau telah melakukan yang terbaik.

Arbeloa dilantik pada Isnin dan perlawanan pertamanya adalah menentang Albacete dalam aksi Copa del Rey pada Rabu, dengan penyerang Perancis itu dijangka tidak diturunkan.

Mbappe baru sahaja membuat kemunculan semula selepas mengalami terseliuh lutut sebagai pemain gantian lewat perlawanan dalam kekalahan final Piala Super Sepanyol kepada Barcelona.

Namun, beliau dijangka terus memberi tumpuan kepada proses pemulihan sehingga perlawanan Liga Juara-Juara menentang bekas kelabnya, Monaco, minggu hadapan.

Sumber kelab memaklumkan bahawa ketiadaan Mbappe dalam latihan adalah sesuatu yang “logik” memandangkan masalah kecederaan lutut yang masih dihadapinya.

Jurulatih terdahulu, Xabi Alonso, sebelum ini mengakui penyertaan penjaring terbanyak Real Madrid itu dalam perlawanan menentang Barcelona di Arab Saudi merupakan satu risiko yang dikira.

Alonso, yang digantikan selepas kurang lapan bulan menerajui pasukan, berkata menerusi media sosial bahawa beliau meninggalkan kelab selepas melakukan yang terbaik. -AFP