
LOS ANGELES, 21 Februari – Bekas juara dunia tinju pelbagai kategori, Floyd Mayweather akan keluar daripada persaraan tahun ini untuk pertarungan rasmi pertamanya dalam tempoh hampir sedekad.
- Mayweather umum akan kembali bertinju secara rasmi tahun ini selepas hampir sedekad bersara.
- Sebelum pertandingan profesional berikutnya, dia dijadualkan beraksi dalam pertarungan pameran menentang Mike Tyson.
- Mayweather menegaskan dia masih mampu mencipta rekod, menarik penonton global dan menjana pendapatan besar.
Demikian menurut promosi baharunya CSI Sports/Fight Sports pada Jumaat, namun lawannya masih belum ditentukan.
Sebelum kemunculan semula secara rasmi, Mayweather dijadual beraksi dalam pertarungan pameran menentang legenda tinju, Mike Tyson dengan tarikh dan lokasi masih belum diumumkan.
“Saya masih mempunyai apa yang diperlukan untuk mencipta lebih banyak rekod dalam sukan tinju, daripada acara saya bersama Mike Tyson yang akan datang hinggalah pertarungan profesional seterusnya.
“Tiada siapa mampu menjana kutipan tiket lebih besar, penonton siaran global lebih ramai dan pendapatan lebih tinggi bagi setiap acara berbanding acara saya,” kata Mayweather, 48, dalam satu kenyataan di laman web promosi baharunya.
Ia bakal menjadi kemunculan semula keempat petinju Amerika Syarikat itu yang sebelum ini bersara pada tahun 2007, 2015 dan 2017 dan kali terakhir selepas menewaskan Conor McGregor untuk melanjutkan rekod tanpa kalahnya kepada 50-0.
Bagaimanapun, beliau tetap beraksi dalam beberapa pertarungan pameran sejak itu.
Sepanjang kerjaya hampir tiga dekad, Mayweather menewaskan ramai petinju terbaik pada zamannya serta menjadi tajuk utama bagi tiga pertarungan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah, termasuk menentang Manny Pacquiao, McGregor dan Canelo Alvarez. -REUTERS