
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Akuatik Malaysia (MAS) dijangka mengumumkan pelantikan jurulatih baharu skuad renang negara selewat-lewatnya pada Mac ini.
- MAS menerima tiga calon untuk mengisi jawatan jurulatih skuad renang kebangsaan, termasuk dua calon asing.
- Pengumuman pelantikan dijangka selesai selewat-lewatnya pada bulan Mac bagi persiapan kejohanan tahun ini.
- Eric Anderson tidak menyambung perkhidmatan selepas kontrak berakhir, dengan rekod prestasi peningkatan pingat Sukan SEA.
Setiausaha Agung MAS Andy Low berkata sebanyak tiga individu menyatakan minat untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
“Kami sudah ada tiga calon untuk mengisi jawatan jurulatih skuad renang kebangsaan. Dua daripadanya adalah calon dari luar negara.
“Kami harap proses itu dapat diselesaikan segera dan paling lewat pada bulan tiga ini. Sebab tahun ini kita ada banyak kejohanan yang bakal disertai perenang negara,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, bekas jurulatih skuad renang kebangsaan Eric Anderson mencapai kata sepakat bersama MAS untuk tidak menyambung perkhidmatannya yang berakhir pada 31 Dis 2025.
Tugasan terakhir Anderson adalah pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang menyaksikan skuad renang negara meraih dua emas, tiga perak dan lima gangsa.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding lapan pingat (satu emas, tiga perak, empat gangsa) di Phnom Penh 2023 serta tujuh pingat (satu emas, empat perak, dua gangsa) di Hanoi 2021.- BERNAMA