
KUALA LUMPUR, 17 Febuari – Atlet wushu negara, Mandy Cebelle Chen memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini selepas mengharungi jadual latihan dan kejohanan yang padat sepanjang musim lalu.
- Mandy memilih rehat di rumah bersama keluarga sempena Tahun Baharu Cina untuk pulih fizikal dan emosi selepas musim padat.
- Sambutan sederhana dengan fokus masa berkualiti bersama keluarga dan rakan terdekat, bukan perayaan besar.
- Beliau hanya diberi cuti seminggu, tiada perancangan bercuti; masa digunakan untuk berehat dan memulihkan tenaga.
- Menumpukan persiapan untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sambil mengekalkan prestasi selepas kejayaan Sukan SEA 2025.
Berbeza dengan sebahagian atlet yang mengambil peluang cuti perayaan untuk bercuti, Mandy lebih selesa memanfaatkan tempoh rehat dengan berada di rumah bagi memulihkan fizikal dan emosi sebelum kembali menjalani latihan penuh.
Menurut atlet kelahiran Selangor itu, sambutan yang sederhana sudah memadai dengan keutamaan diberikan kepada masa berkualiti bersama keluarga serta rakan terdekat.
“Sebenarnya saya tidak menyambut Tahun Baharu Cina secara besar-besaran. Saya faham ramai yang meraikannya, tetapi bagi saya ia lebih kepada menziarahi keluarga dan berkumpul seperti biasa.
“Kami masih menjalani latihan, namun diberikan cuti selama seminggu untuk sambutan ini. Saya berasal dari Selangor, jadi saya hanya berada di rumah, meluangkan masa bersama keluarga. Tiada perancangan untuk bercuti, sekadar berehat, makan dan memulihkan tenaga,” katanya.
Mandy sebelum ini mencipta kejayaan apabila meraih pingat emas acara duilian wanita tanpa senjata pada Sukan SEA 2025 Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara sandaran utama negara.
Tumpuan beliau kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan sasaran mengekalkan prestasi konsisten dan membawa cabaran negara ke tahap lebih tinggi di pentas Asia.