
MANCHESTER, 22 Februari – Kejayaan Manchester City menewaskan Newcastle United 2-1 merupakan kemenangan penting kepada skuad bimbingan Pep Guardiola itu untuk merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris.
- Manchester City menang 2-1 ke atas Newcastle, memperkukuh cabaran kejuaraan Liga Perdana.
- City kini menghuni tangga kedua dengan 56 mata, hanya ketinggalan dua mata dari Arsenal.
- Pep Guardiola yakin City ada momentum terbaik dan perlu mengekalkan prestasi hingga tamat musim.
- Nico O’Reilly menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan selepas umpanan Erling Haaland.
Kemenangan berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan The Citizens di tangga kedua liga dengan 56 mata, dipisahkan hanya dua mata dengan pendahulu Arsenal.
Pengendalinya, Pep Guardiola percaya City berada dalam momentum terbaik untuk memintas Arsenal ketika aksi liga masih berbaki 11 perlawanan.
“Sekarang sudah sampai di babak paling menarik untuk musim ini. Setiap perlawanan akan kami harungi sama seperti hari ini.
“Dari segi kutipan mata, kemenangan ini sangat penting dan kami perlu pastikan tidak lagi tercicir mata sehingga tamat saingan musim ini, ” kata Guardiola.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada pagi Ahad itu, City meledakkan gol pertama menerusi rembatan kencang pemain tengah, Nico O’Reilly seawal minit ke-14.
Pemain pertahanan Newcastle, Lewis Kieran Hall berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 hasil sepakan diluar kotak penalti.
O’Reilly muncul wira City apabila menjaringkan gol kedua peribadi selang lima minit kemudian selepas menerima umpanan daripada penyerang, Erling Haaland.