Malaysia seri dengan Singapura pada Kejohanan Ragbi 15 Sebelah ‘SEA Women’s XV’

Foto FB Malaysia Rugby

PETALING JAYA, 8 Februari – Malaysia memulakan kempen Kejohanan Ragbi 15 Sebelah ‘SEA Women’s XV’ 2026 dengan keputusan seri 15-15 menentang Singapura pada perlawanan pembukaan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia seri 15-15 dengan Singapura pada pembukaan Kejohanan Ragbi 15 Sebelah SEA Women’s XV.
  • Jurulatih Raimi tekankan kelemahan pertahanan, kecergasan dan kurang penguasaan bola perlu diperbaiki.
  • Pasukan akan fokus pemulihan 4–5 hari sebelum menentang Filipina yang lebih besar dan fizikal.
  • Presiden KRM anggap kejohanan sulung ini sebagai penanda aras pembangunan ragbi 15 sebelah wanita serantau.

Ketua jurulatih skuad wanita negara, Raimi Mohd Yusof mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama dari segi pertahanan dan kecergasan pemain.

“Secara keseluruhan, pemain menunjukkan usaha yang sangat baik. Namun kita banyak bertahan, hampir 70 peratus permainan tadi dan hanya 30 peratus penguasaan bola. Banyak peluang yang kita cipta tidak dimanfaatkan dengan baik.

“Dari segi pertahanan dan kecergasan, memang ada ruang untuk diperbaiki. Kita kurang pendedahan bermain 80 minit penuh dalam format 15 sebelah. Tapi itu bukan alasan. Kita berada di peringkat nasional dan perlu bekerja lebih keras,” katanya selepas selepas perlawanan di Padang Astaka, di sini.

Tambahnya, pasukan negara akan memberi tumpuan kepada pemulihan dalam tempoh empat hingga lima hari sebelum kembali memperkemas aspek pertahanan dan serangan menjelang aksi seterusnya menentang Filipina yang disifatkan lebih besar dan fizikal.

Malaysia sebelum ini dua kali mendahului perlawanan, namun kesilapan mudah menyebabkan Singapura kembali menyamakan kedudukan.

Raimi berharap keputusan seri itu menjadi pengajaran penting buat pasukan untuk memperbaiki kelemahan dan tampil lebih mantap dalam perlawanan seterusnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad menyifatkan penganjuran sulung kejohanan itu sebagai satu penanda aras baharu dalam pembangunan ragbi 15 sebelah wanita di rantau Asia Tenggara.

Kejohanan yang mendapat pengiktirafan badan dunia itu menghimpunkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Filipina selepas Indonesia menarik diri pada saat akhir.

“Ini kali pertama kejohanan SEA Women’s XV dianjurkan dan Malaysia menjadi tuan rumah. Keputusan kejohanan ini juga akan memberi impak kepada ranking dunia pasukan yang bertanding.

“Selama ini kita lebih tertumpu kepada ragbi tujuh sebelah. Hari ini kita dapat lihat corak permainan masih dipengaruhi format tujuh sebelah, namun saya yakin kejohanan seperti ini akan membuka ruang pembangunan baharu untuk ragbi 15 sebelah di Malaysia,” katanya.

Objektif utama kejohanan tersebut adalah untuk memperkukuh dan memajukan ragbi 15 sebelah wanita di Asia Tenggara, yang sebelum ini lebih sinonim dengan kejohanan tujuh sebelah.

Amir Amri turut optimis lebih banyak negara akan menyertai edisi akan datang, apatah lagi dengan perkembangan sukan itu menjelang temasya utama seperti Sukan SEA.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran terbesar penganjuran dan pembangunan ragbi 15 sebelah adalah dari segi kos dan persiapan kerana ia memerlukan jumlah pemain yang lebih ramai serta perancangan rapi.

“Menganjurkan kejohanan 15 sebelah memerlukan bajet yang besar. Tetapi sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mengharapkan Malaysia muncul juara. Kita akan perbaiki kelemahan yang berlaku dalam perlawanan pertama ini sebelum menentang Filipina,” katanya.