
PETALING JAYA, 14 September – Selangor FC menampilkan aksi dominan untuk menewaskan KL City FC 3-0 dalam saingan Liga Super 2026 di Stadium MBPJ, di sini malam tadi.
- Ketua jurulatih Kim Pan-gon memuji semangat pemain yang mengatasi jadual padat dan menampilkan persembahan hebat.
- Beliau menegaskan aspek penyudah perlu diperbaiki selepas mencipta beberapa peluang pada awal permainan.
- Penyerang Eduardo Sosa dipuji kerana menjaringkan gol dan memberi dimensi kreatif kepada jentera serangan.
Kemenangan di hadapan lebih 4,000 penonton itu menyaksikan Selangor mengawal permainan dengan baik selain mencipta beberapa peluang sepanjang perlawanan.
Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menyifatkan kemenangan itu sebagai persembahan hebat anak buahnya, terutama selepas mengharungi jadual padat dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu.
“Saya menghargai apa yang telah dilakukan oleh para pemain pada malam ini. Dalam dua, tiga minggu yang lepas, jadual sangat padat dan mereka pastinya sangat penat, tetapi saya rasa semangat mereka mengatasi keadaan tersebut.
“Saya sangat menghargai semua pemain atas apa yang telah mereka lakukan pada malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kim berkata, walaupun Selangor agak lewat membuka jaringan, pemainnya terus berusaha menguasai permainan dan menampilkan karakter yang diinginkan pasukan.
Bagaimanapun, beliau mengakui aspek penyudah masih perlu diperbaiki selepas Selangor mencipta beberapa peluang pada awal permainan.
“Apabila kita mendapat peluang, kita perlu memanfaatkannya untuk menjaringkan gol. Pada awal permainan, kita sudah mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
“Oleh itu, tabiat menjaringkan gol awal sangat penting dan selepas menjaringkan gol pertama, tabiat untuk mendapatkan gol kedua juga sama penting,” katanya.
Kim turut memuji penyerang Eduardo Sosa yang sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol, selain menyifatkan pemain itu sebagai individu yang mampu memberikan dimensi kreatif kepada jentera serangan Selangor.
Menurutnya, Sosa memiliki karakter yang diperlukan pasukan untuk menjadikan corak permainan lebih dinamik dan sukar dijangka.
Mengulas kemampuan pemain mengharungi jadual perlawanan berturut-turut, Kim berkata kemenangan ke atas KL City didorong semangat dan motivasi tinggi pemain untuk menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong.