
ROM, 16 Mac – AC Milan terlepas peluang merapatkan jurang dengan pendahulu liga selepas tewas 0-1 kepada Lazio dalam aksi Serie A di Stadium Olimpico awal pagi tadi.
- Lazio tewaskan AC Milan 1-0; Gustav Isaksen jaringkan gol tunggal pada pertengahan babak kedua.
- Kekalahan Milan kekalkan jurang lapan mata ke belakang Inter; Allegri gesa pasukan fokus layak ke Liga Juara-Juara.
- Como bangkit selepas penalti Roma, Tasos Douvikas samakan, Diego Carlos jaringkan gol kemenangan.
- Como kini di tangga keempat, satu mata di hadapan Juventus; belum pernah beraksi di pentas Eropah, sembilan perlawanan baki.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap Denmark, Gustav Isaksen pada pertengahan babak kedua sekali gus memastikan tiga mata penting buat tuan rumah.
Kekalahan itu menyaksikan Milan kekal lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan yang sekadar seri 1-1 dengan Atalanta, Sabtu lalu.
Pengendali Milan, Massimiliano Allegri berkata pasukannya perlu realistik dan memberi fokus kepada sasaran utama untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.
“Ramai bercakap tentang perebutan Scudetto selepas Inter seri, tetapi kami perlu realistik.
“Kami melakukan perkara baik musim ini dan perlu fokus kepada objektif utama iaitu layak ke Liga Juara-Juara, jika tidak kami berisiko merosakkan apa yang telah dibina,” katanya.
Walaupun tewas, Milan masih berada di landasan baik untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah dengan kelebihan tujuh mata di hadapan pasukan tangga kelima, Juventus.
Sementara itu, Como 1907 terus menghidupkan impian beraksi di pentas Eropah selepas menewaskan AS Roma 2-1.
Roma terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Donyell Malen sebelum Como bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Tasos Douvikas pada minit ke-59.
Kebangkitan tuan rumah disempurnakan oleh Diego Carlos yang menjaringkan gol kemenangan kira-kira 20 minit kemudian.
Roma turut beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Wesley França dilayangkan kad kuning kedua.
Dibimbing bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Cesc Fàbregas, Como kini menghuni tangga keempat liga, satu mata di hadapan Juventus.
Kelab itu tidak pernah beraksi di pentas Eropah sebelum ini dan kini hanya berbaki sembilan perlawanan untuk merealisasikan impian beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara itu, Roma kendalian Gian Piero Gasperini kini berada di tangga keenam, tiga mata di belakang Como.- AFP