Lando Norris sasar bangkit di Suzuka

Pemandu McLaren, Lando Norris dari Britain, menghadiri sidang media menjelang Grand Prix Formula Satu Jepun di Suzuka, 26 Mac 2026/ Foto AFP

Suzuka, 26 Mac – Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris, berkata beliau yakin masih berpeluang bersaing dalam perebutan kejuaraan musim ini walaupun permulaan yang mengecewakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketinggalan 36 mata di belakang George Russell selepas dua Grand Prix; tiba di Suzuka selepas gagal memulakan perlumbaan di China.
  • McLaren sukar menyesuaikan diri dengan peraturan baharu musim ini tetapi kereta masih mempunyai potensi besar di Suzuka.
  • Sasaran jangka dekat adalah podium diikuti kembali memenangi perlumbaan; dia yakin mata akan datang sendiri.
  • Norris dan Piastri gagal memulakan perlumbaan China akibat masalah teknikal; pasukan sudah memahami punca dan berusaha mengelakkan berulang.

Pemandu McLaren itu kini ketinggalan 36 mata di belakang pendahulu, George Russell dari Mercedes, selepas dua Grand Prix pertama, dan tiba di Suzuka selepas kegagalan memulakan perlumbaan di China.

Norris dan McLaren menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan peraturan baharu musim ini, tetapi pemandu Britain itu percaya kereta mereka mempunyai “potensi besar” untuk mencapai keputusan positif di Jepun.

“Apa yang kami fikirkan sekarang adalah untuk berada di podium terlebih dahulu, kemudian kembali memenangi perlumbaan,” kata Norris.

“Mata akan datang sendiri dan kita lihat apa yang boleh diperoleh, kami yakin dengan itu. Saya percaya pada pasukan dan saya fikir kami boleh mempunyai kereta terbaik tahun ini.”

Norris menamatkan perlumbaan pembukaan musim di Australia di tempat kelima dan menduduki tempat keempat dalam perlumbaan sprint di China, namun gagal memulakan Grand Prix Shanghai.

Rakan sepasukannya, Oscar Piastri, turut tidak dapat memulakan perlumbaan akibat masalah teknikal.

Norris berkata McLaren kini memahami punca masalah itu tetapi mengakui kegagalan berganda di China “menyakitkan pasukan”.

“Apa yang paling menyakitkan ia di luar kawalan kami,” tambahnya.

“Tetapi kami telah bekerja keras untuk memahami apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, dan sudah tentu kami akan melakukan semua yang boleh untuk memastikan ia tidak berulang.”-AFP