
KUCHING, 1 Februari – Pasukan Kuching City FC kini naik ke tangga kedua selepas berjaya menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super 2025-2026 malam tadi.
- Kemenangan 2-0 dicapai menerusi gol Gabriel Nistelrooy dan Ronald Ngah.
- Kuching City menguasai permainan dengan serangan berterusan terutama pada babak kedua.
- Pertahanan tuan rumah tahan percubaan bangkit Negeri Sembilan sehingga tamat perlawanan.
- Selepas 15 perlawanan, Kuching City naik ke tangga kedua dengan 31 mata.
Perlawanan di Stadium Negeri Sarawak itu menyaksikan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak menang 2-0 ke atas NSFC.
Pasukan tuan rumah bermula garang dan berjaya memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan pelawat, Amirul Adli Azmi yang membuat hantaran ke belakang pada minit ke-10 sebelum dirampas Gabriel Nistelrooy Tamin untuk meledak gol pembukaan Kuching City.

Kuching City mendapat beberapa lagi peluang untuk menggandakan jaringan pada babak pertama, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
Menyedari kedudukan 1-0 belum cukup selamat, Kuching City terus mengasak kubu pelawat pada babak kedua dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi penyerang import Wanja Ronald Ngah pada minit ke-66.

Pasukan pelawat cuba bangkit pada penghujung perlawanan, namun gagal menembusi pertahanan tuan rumah untuk keputusan kekal 2-0 hingga wisel penamat.
Selepas 15 perlawanan, Kuching City kini di tangga kedua dengan berkongsi 31 mata bersama Selangor FC di kedudukan ketiga, manakala Kuala Lumpur (KL) City FC di tempat keempat hanya dibezakan satu mata.