
KOTA BHARU, 9 April – Pemilik kelab Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), Nasken Coffee, bakal mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 6 April lalu.
- Tindakan undang-undang diambil kerana wujud beberapa fakta dan perkara yang boleh dipertikaikan antara kedua-dua belah pihak.
- Permohonan akan difailkan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates selewat-lewatnya pada 7 Mei.
- Presiden berharap isu diselesaikan segera mengikut saluran perundangan untuk elak kekeliruan peminat dan pihak berkepentingan.
- Mahkamah Sesyen mengeluarkan penghakiman ingkar memerintahkan bayaran RM441,000 kepada pemilik terdahulu, isu kemudian tular selepas hantaran media sosial.
Permohonan tersebut akan difailkan melalui firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates selewat-lewatnya pada 7 Mei depan.
Langkah undang-undang ini diambil susulan wujudnya beberapa fakta dan perkara yang boleh dipertikaikan antara kedua-dua belah pihak.
Presiden KRW FC, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya mahu isu tersebut diselesaikan segera mengikut saluran perundangan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan peminat dan pihak berkepentingan.
“Dari segi kejurulatihan dan pemain, pasukan tidak berhadapan sebarang masalah. Kami tidak terkesan dengan isu ini kerana pada saya, ia belum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Justeru, saya berharap semua pihak tidak terpengaruh dengan maklumat yang tular. Biarkan pihak peguam kedua-dua belah pihak menguruskan penyelesaian isu ini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kota Bharu mengeluarkan penghakiman ingkar kehadiran yang memerintahkan Nasken Coffee membayar RM441,000 kepada pemilik terdahulu kelab, Nik Hafiz Naim Nik Hassan.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian meluas selepas Nik Hafiz didakwa memuat naik kenyataan berkaitan keputusan mahkamah tersebut di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi tular.