Kontroversi penalti, Barcelona fail aduan pengadilan kepada UEFA

Foto REUTERS

BARCELONA, 10 April– Barcelona secara rasmi mengheret kontroversi pengadilan ke meja rundingan UEFA berhubung kegagalan pengadil memberikan sepakan penalti ketika aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Khamis lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pengadil Istvan Kovacs membiarkan permainan diteruskan dianggap kesilapan besar meragut peluang Barcelona.
  • Insiden minit ke-54: Juan Musso menendang gol, kemudian pertahanan Marc Pubill memegang bola dalam kotak untuk sepakan semula.
  • Kovacs enggan melayan rayuan penalti dan pasukan VAR tidak memanggil untuk membuat semakan.
  • Barca tuntut siasatan, akses komunikasi pegawai perlawanan, pengiktirafan kesilapan dan tindakan susulan daripada UEFA.

Kelab Catalan itu menyifatkan keputusan pengadil, Istvan Kovacs, yang membiarkan permainan diteruskan sebagai satu kesilapan besar yang meragut peluang mereka dalam kekalahan 0-2 di laman sendiri tersebut.

Kemarahan Barca berpunca daripada insiden pada minit ke-54 apabila penjaga gol Atletico, Juan Musso, dilihat sudah melakukan sepakan gol untuk memulakan permainan sebelum pertahanannya, Marc Pubill, secara tiba-tiba memegang bola di dalam kotak penalti untuk melakukan sepakan semula.

Meskipun pemain Barcelona merayu untuk sepakan penalti, Kovacs enggan melayan bantahan tersebut sementara pasukan VAR pula tidak memanggilnya untuk membuat semakan.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Barcelona mengesahkan bahawa khidmat guaman kelab telah menuntut siasatan dibuka serta meminta akses kepada komunikasi antara pegawai perlawanan pada malam itu.

Kelab menegaskan bahawa tindakan pemain lawan mengambil bola dengan tangan selepas permainan dimulakan semula secara sah adalah satu pelanggaran peraturan yang nyata.

Mereka turut menuntut pengiktirafan rasmi terhadap kesilapan tersebut serta tindakan susulan yang sewajarnya diambil oleh badan induk bola sepak Eropah itu.

Isu tafsiran undang-undang membabitkan situasi ‘bola mati’ berkenaan terus menjadi perdebatan hangat memandangkan terdapat percanggahan dalam kes-kes sebelum ini. -REUTERS