
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Kawasan sekitar Suria KLCC bertukar menjadi litar lumba malam ini dengan ribuan peminat sukan permotoran berhimpun di Esplanad Menara Berkembar Petronas bagi menyaksikan Majlis Pelancaran MotoGP Musim 2026.
- Suria KLCC dijadikan litar sementara sepanjang 1.5 km untuk Majlis Pelancaran MotoGP 2026.
- Perarakan 20 pelumba elit termasuk Marc Marquez, Alex Marquez dan Francesco Bagnaia.
- Acara berbentuk festival menggabungkan persembahan The Script, DJ Pawsa dan kumpulan DOLLA.
- MotoGP 2026 bermula dengan GP Thailand, pasukan terus ke ujian pramusim di Buriram dan GP Malaysia pada Oktober.
Buat julung kalinya, pelancaran musim baharu perlumbaan itu diadakan di Kuala Lumpur, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab sukan permotoran global menjelang pembukaan MotoGP yang dijadual hujung bulan ini.
Acara kemuncak yang bermula pada 7 malam itu menampilkan perarakan 20 pelumba elit, termasuk juara dunia Marc Marquez, adiknya Alex Marquez serta juara dunia dua kali Francesco Bagnaia.
Para pelumba memperagakan jentera berprestasi tinggi mereka di sepanjang litar sementara sejauh 1.5 kilometer (km) di laluan utama sekitar Menara Berkembar Petronas yang ditutup sementara kepada lalu lintas.
Walaupun hujan renyai, para penonton tetap dihiburkan dengan aksi demonstrasi termasuk aksi stoppie motosikal serta pelancaran rasmi barisan pelumba dan pasukan bagi musim 2026.
Acara itu dimeriahkan dengan suasana berkonsepkan festival yang menggabungkan elemen sukan dan hiburan menerusi persembahan kumpulan pop rock Ireland The Script, DJ Pawsa serta kumpulan wanita tempatan DOLLA.
MotoGP 2026 dijadual bermula secara rasmi dengan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang dari 27 Februari hingga 1 Mac.
Selepas tamat ujian musim sejuk di Sepang Khamis lepas, pasukan-pasukan akan menuju ke Buriram, Thailand bagi ujian pramusim terakhir yang dijadualkan pada 21 hingga 22 Februari.
Kejuaraan itu akan kembali ke Malaysia menerusi GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Okt hingga 1 November.- BERNAMA