
GOLD COAST, 2 Mac– Jurulatih skuad wanita Iran, Marziyeh Jafari enggan mengulas lanjut mengenai pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika sidang media menjelang aksi pembukaan Piala Asia Wanita Australia 2026, sambil menegaskan pasukannya kekal fokus kepada kejohanan.
- Jurulatih Marziyeh Jafari kekalkan fokus pasukan dan enggan ulas pembunuhan Pemimpin Agung Iran.
- Ketegangan Asia Barat meningkat selepas serangan Israel dan balasan Iran, mencetuskan ketidaktentuan geopolitik.
- AFC memantau situasi dan sedia beri sokongan serta bantuan kepada pemain jika diperlukan.
- Iran mula bertemu Korea Selatan; dua pasukan teratas kumpulan layak ke suku akhir dan Piala Dunia 2027.
Jelasnya, isu tersebut bukan perkara yang wajar dibincangkan dalam konteks persiapan pasukan.
Situasi di Asia Barat semakin tegang apabila Israel melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Tehran pada Ahad, manakala Iran membalas dengan beberapa serangan peluru berpandu, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), selaku penganjur kejohanan memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan semasa dan akan menyediakan sokongan serta bantuan kepada pemain sekiranya diperlukan.
Iran dijadual menentang Korea Selatan pada Isnin di Australia.
Kapten pasukan, Zahri Ghanbari berkata fokus utama skuad adalah untuk layak ke peringkat seterusnya dan merebut tiket ke Piala Dunia.
Korea Selatan turut menjalani sesi latihan terbuka kepada media, dengan kaptennya, Yoojin Ko, yang membuat penampilan sulung di kejohanan utama, menyatakan komitmen penuh untuk membantu pasukan.
Australia dan Filipina melengkapkan saingan kumpulan tersebut, dengan dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir Piala Asia sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2027 di Brazil. -REUTERS