Kem Olahraga: Keutamaan jurulatih tempatan

Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Feruari – Persatuan Olahraga Malaysia (MA) memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan dalam sesi temu duga penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan yang berlangsung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MA memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan dalam penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan.
  • Kurang daripada 35 calon daripada bidang olahraga disenarai pendek ke fasa kedua temu duga.
  • Proses pemilihan melibatkan gabungan jurulatih berpengalaman, bakat baharu dan panel bebas untuk ketelusan.
  • Sekitar 20 jawatan disasarkan diisi; keputusan dijangka dimuktamadkan minggu pertama Mac.

Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata kurang daripada 35 calon disenarai pendek ke fasa kedua selepas melalui proses penapisan awal yang hanya menumpukan kepada calon daripada bidang olahraga.

“Kami menerima lebih banyak permohonan, termasuk daripada sukan lain. Penapisan pertama dibuat untuk memastikan hanya calon daripada bidang olahraga dipertimbangkan. Kini kurang daripada 35 jurulatih disenarai pendek untuk temu duga fasa kedua,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Menurut beliau, proses pemilihan melibatkan gabungan jurulatih berpengalaman dan bakat baharu serta dikendalikan panel bebas bagi menjamin ketelusan.

“Ada wajah lama, ada muka baharu dan nama-nama besar. Semua diberi peluang sama rata. Panel temu duga melibatkan wakil MA, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara serta panel bebas bagi menjamin proses yang telus,” jelasnya.

MA menyasarkan kira-kira 20 kekosongan jawatan jurulatih akan diisi menerusi proses tersebut dengan fokus utama diberikan kepada calon tempatan sebelum mempertimbangkan jurulatih luar negara.

“Strategi kita adalah memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan. Jika mereka layak, memenuhi kriteria dan diyakini, kita akan utamakan mereka sebelum menilai calon luar negara,” katanya lagi.

Keputusan pelantikan dijangka dimuktamadkan pada minggu pertama Mac, melibatkan jurulatih tempatan serta kemungkinan tenaga luar jika diperlukan bagi memperkukuh prestasi olahraga negara.