Kejohanan Hoki Dalam Dewan DBKL-PHKL perkasa bakat tempatan

I Vikneswaran / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Kejohanan Hoki Dalam Dewan DBKL-PHKL merupakan medium penstrukturan semula pembangunan hoki bandar, khususnya dalam usaha mengenal pasti, membangunkan dan memperkasakan bakat tempatan di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengukuhkan pembangunan hoki bandar dan mengenal pasti bakat tempatan di peringkat akar umbi.
  • Kejohanan selaras piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa bagi persiapan Sukan SEA 2027.
  • Disokong DBKL, dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan dua kategori terbuka.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), I Vikneswaran.

Menurut beliau, kejohanan selama dua hari bermula Sabtu ini bertempat di UTC Sentul, Kuala Lumpur turut mencatatkan satu pencapaian penting.

Ia menyaksikan Kuala Lumpur menjadi antara bandar terawal yang menganjurkan kejohanan hoki dalam dewan di Malaysia selepas penganjuran di peringkat kebangsaan.

“Adalah penting kita memberikan sokongan kepada persiapan Sukan SEA 2027.

“Kejohanan ini mengikut undang-undang yang selaras dengan piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH),” katanya.

Jelas Vikneswaran, kejohanan hoki dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Dua kategori akan dipertandingkan, iaitu Kategori Lelaki Terbuka dan Kategori Wanita Terbuka.

Penyertaan terbuka kepada pasukan-pasukan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya.