
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak gentar berdepan pemain terbaik dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2026, malah menyifatkan penampilan sulungnya sebagai peluang menguji kemampuan di pentas tertinggi.
- Justin tidak gentar berdepan pemain terbaik dunia, bersedia hadapi cabaran Kejohanan Badminton Dunia.
- Beliau fokus pada persiapan dan tidak terlalu memikirkan undian, memberi tumpuan kepada latihan bersama jurulatih.
- Persiapan ambil kira prestasi sebelum ini; komitmen penuh untuk cuba melakar keputusan terbaik walau tewas di suku akhir Terbuka Taiwan.
Justin yang bakal membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij itu optimis memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan.
“Saya teruja kerana ini merupakan penampilan pertama saya pada Kejohanan Dunia. Buat masa ini, saya tidak terlalu fikir mengenai undian dan hanya fokus mempersiapkan diri,”katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Justin, persiapan bersama jurulatih bagi menghadapi Kejohanan Dunia turut mengambil kira prestasi dalam beberapa kejohanan sebelum ini yang disifatkan sebagai proses penting untuk meningkatkan prestasi.
“Semua pemain terbaik akan beraksi dan saya sedia memberi komitmen dan berharap dapat melakar keputusan terbaik,”akuinya.
Justin sebelum ini beraksi pada Terbuka Taiwan 2026, namun terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Yoo Tae Bin, 17-21, 18-21.