KBS peruntuk RM1 juta kepada YAKEB

Dr Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi membantu menjaga kebajikan bekas atlet negara sepanjang tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS menyalurkan peruntukan selepas meneliti keperluan YAKEB untuk memastikan kebajikan bekas atlet terus terbela.
  • Kementerian akan terus meneliti keperluan dan berbincang dengan YAKEB bagi memastikan kelancaran pengurusan kebajikan atlet.
  • Menteri menyeru lebih banyak pihak korporat dan swasta tampil bekerjasama membantu usaha menjaga kebajikan bekas atlet negara.
  • Projek Ramadan 2026 menyaksikan 50 bekas atlet menerima wang tunai dan barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan itu disalurkan selepas kementerian meneliti keperluan semasa yayasan berkenaan bagi memastikan kebajikan bekas atlet terus terbela.

“Kerajaan memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk YAKEB ini bergerak dan memberikan kebajikan kepada semua golongan vateran atlet itu sendiri.

“Dari peringkat kementerian belia dan sukan kita sentiasa meneliti jika ada keperluan untuk penambahan dan sebagainya kita akan sentiasa berbincang di pihak yakeb untuk memastikan kelancaran yayasan ini untuk mejaga kebajikan atlet negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Projek Ramadan 2026 Menghargai Bekas Atlet, Menyemai Kasih di Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Dalam pada itu Dr Mohammed Taufiq turut menyeru lebih banyak pihak korporat dan swasta tampil bekerjasama membantu usaha menjaga kebajikan bekas atlet negara.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peruntukan yang diterima ketika ini mampu menampung bantuan serta insentif sedia ada di bawah skim yayasan tersebut.

“Alhamdulillah, kita menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Kementerian Kewangan.

“Peruntukan ini akan digunakan YAKEB bagi menguruskan pemberian bantuan dan insentif yang telah tersedia dalam skim mereka,” katanya.

Majlis Projek Ramadan 2026 itu turut menyaksikan seramai 50 bekas atlet menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.