
PUTRAJAYA, 20 Februari – Usaha memperkukuh masa depan badminton negara akan terus diperkasa melalui kerjasama strategik.
- Kerjasama strategik antara KBS dan BAM untuk memperkukuh masa depan badminton negara.
- Fokus pada pelan pembangunan jangka panjang bagi melahirkan generasi pelapis berdaya saing antarabangsa.
- Penstrukturan program, pengukuhan sokongan atlet dan peruntukan berfokus untuk impak tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Menurutnya, pertemuan strategik itu memberi fokus kepada pelan pembangunan jangka panjang sukan badminton negara, khususnya dalam melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Perbincangan turut merangkumi penstrukturan semula program pembangunan, pengukuhan sistem sokongan atlet serta keperluan peruntukan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.

“Kami turut menyentuh keperluan mempergiat usaha memperkukuh kerjasama strategik antara pelbagai pihak demi memastikan ekosistem sukan badminton negara terus kekal kompetitif di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Tegasnya, Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan pembangunan sukan yang inklusif dan berprestasi tinggi demi menjulang nama keramat Malaysia yang tercinta.