KBS galak lebih ramai wanita sertai sukan, lahir pelapis atlet negara

Dr. Muhammed Taufiq bersama peserta Kejohanan Milo All Girls Touch Rugby Series 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim / FB Taufiq Johari

SUNGAI PETANI, 8 Februari – Lebih ramai wanita digalakkan untuk melibatkan diri dalam bidang sukan sebagai usaha melahirkan barisan pelapis atlet wanita negara pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakan supaya lebih ramai wanita menyertai sukan untuk melahirkan pelapis atlet negara.
  • Pencapaian atlet wanita menunjukkan keupayaan bersaing di peringkat tinggi.
  • Sukan diperkasakan dari peringkat akar umbi untuk membentuk kecergasan, disiplin dan semangat berpasukan.
  • KBS bekerjasama dengan sekolah, IPT dan Majlis Sukan Negara untuk mengetengahkan bakat wanita ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penglibatan wanita dalam pelbagai acara sukan ketika ini menunjukkan perkembangan positif dan wajar diperkasakan bermula dari peringkat akar umbi.

Jelasnya, pencapaian atlet wanita negara yang semakin menyerlah menjadi bukti keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat tinggi.

“Kita dapat melihat ikon sukan yang mengharumkan nama negara juga terdiri daripada atlet wanita. Oleh itu, kita mahu lebih ramai wanita tampil menyertai sukan, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Kejohanan Milo All Girls Touch Rugby Series 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim, pada Sabtu.

Menurut beliau, sukan berperanan sebagai medium penyatuan dan tidak seharusnya dibezakan mengikut jantina atau latar belakang.

“Kita boleh memperkasakan wanita melalui sukan yang bukan sahaja membentuk kecergasan fizikal, malah memupuk disiplin serta semangat berpasukan. Negara kini berada pada landasan baik dengan kehadiran ramai pelapis atlet wanita,” katanya.

Tambah beliau, KBS akan terus bekerjasama dengan sekolah, institusi pengajian tinggi serta Majlis Sukan Negara bagi memastikan bakat wanita yang dikenal pasti dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.