
SYDNEY, 2 April – Ketua pasukaan skuad Liga Ragbi Fiji, Tui Kamikamica, dibenar keluar hospital selepas disyaki mengalami strok, menurut kenyataan kelabnya, Melbourne Storm, hari ini.
- Mengalami simptom strok awal Isnin dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
- Dibebaskan untuk memulakan tempoh pemulihan rawatan dalaman di bawah pemantauan perubatan kelab.
- Mempunyai 142 penampilan NRL sejak 2017 dan mewakili Fiji 22 kali.
- Dijangka mengetuai Fiji pada Piala Dunia Ragbi Liga Oktober ini.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini beraksi selama 25 minit ketika Storm tewas 24-28 kepada North Queensland dalam saingan Liga Ragbi Nasional (NRL), Sabtu lalu.
Menurut kelab, Kamikamica mengalami simptom disyaki strok awal pagi Isnin sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
“Melbourne Storm mengesahkan Tui Kamikamica telah dibenarkan keluar hospital untuk memulakan tempoh pemulihan secara rawatan dalaman.
“Kamikamica dijangka dapat kembali bersama kelab selepas tamat tempoh pemulihan dan meneruskan proses pemulihan di bawah pemantauan pasukan perubatan,” menurut kenyataan itu.
Kelab turut merakamkan penghargaan kepada pihak perubatan di Royal Melbourne Hospital serta Ambulance Victoria atas rawatan yang diberikan, selain berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada pemain itu dan keluarganya.
Kamikamica telah membuat 142 penampilan dalam NRL, semuanya bersama Storm sejak penampilan sulungnya pada 2017, selain mewakili Fiji sebanyak 22 kali.
Pemain itu dijangka mengetuai Fiji pada Piala Dunia Ragbi Liga tahun ini yang bermula Oktober di Australia, New Zealand dan Papua New Guinea.
Dalam perkembangan lain, Storm turut kehilangan seorang lagi pemain, Eli Katoa, bagi baki musim ini selepas menjalani pembedahan otak susulan beberapa kecederaan hentakan kepala ketika mewakili Tonga, November lalu.-AFP