
RABAT, 28 Januari – Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menggantung jurulatih Senegal, Pape Thiaw selama lima perlawanan dan mendenda beliau sebanyak AS$100,000 kerana “tingkah laku tidak beretika” selepas mengarahkan pemain meninggalkan padang ketika final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang tuan rumah, Maghribi.
- Jurulatih Senegal Pape Thiaw digantung lima perlawanan dan denda AS$100,000 kerana mengarahkan pemain tinggalkan padang.
- Persekutuan Bola Sepak Senegal didenda AS$615,000; Maghribi juga dikenakan denda AS$315,000 berkaitan kelakuan penyokong dan pegawai.
- Beberapa pemain digantung: Iliman Ndiaye dan Ismaila Sarr dua perlawanan; Hakimi dan Ismael Saibari turut menerima penggantungan.
CAF juga mengenakan denda sebanyak AS$615,000 ke atas Persekutuan Bola Sepak Senegal berikutan kelakuan pasukan dan penyokong mereka.
Pemain Senegal iaitu Iliman Ndiaye dan Ismaila Sarr digantung dua perlawanan kerana kelakuan tidak beretika terhadap pengadil.
Usaha Maghribi untuk membatalkan keputusan perlawanan selepas pemain Senegal meninggalkan padang, menyebabkan kelewatan 14 minit, ditolak oleh Jawatankuasa Disiplin CAF.
Tuan rumah, Maghribi turut dikenakan denda keseluruhan AS$315,000 kerana kelakuan budak bola, pemain dan pegawai di kawasan video bantuan pengadil (VAR) serta penggunaan laser oleh penyokong.
Manakala Kapten Maghribi, Achraf Hakimi digantung dua perlawanan (satu digantung selama setahun) manakala Ismael Saibari digantung tiga perlawanan.
Kekecohan tercetus selepas Senegal digagalkan jaringan dan Thiaw mengarahkan pemain meninggalkan padang. Beberapa minit kemudian, Maghribi diberikan sepakan penalti yang akhirnya gagal disempurnakan oleh Brahim Diaz.
Senegal kemudiannya menjuarai perlawanan menerusi jaringan masa tambahan oleh Pape Gueye.
CAF berkata walaupun final berlangsung penuh kontroversi, kejohanan itu tetap mencatatkan kejayaan dari segi kewangan sepanjang penganjurannya. -REUTERS