
DHAHRAN, 10 Februari – Juara dunia dua kali, Fernando Alonso berkata, dia mahu menikmati setiap detik musim baharu Formula ONE (F1) dan masih belum membuat keputusan sama ada musim ini menjadi yang terakhir buat dirinya.
- Alonso belum buat keputusan sama ada musim ini akan menjadi musim terakhirnya dalam F1, memilih untuk nikmati setiap detik musim baharu.
- Aston Martin mulakan era enjin Honda dengan jentera AMR26 direka oleh Adrian Newey dan dibantu kepakaran teknikal Enrico Cardile.
- Pasukan jangka mencabar pada permulaan musim tetapi berharap prestasi bertambah baik pada separuh kedua dan sasar kemenangan masa depan.
Bercakap kepada Reuters ketika majlis pelancaran livery Aston Martin F1 Team di Arab Saudi sebelum ujian pramusim di Bahrain, pelumba Sepanyol berusia 44 tahun itu yang juga pelumba paling berusia dalam grid F1, berkata dia kekal fokus dan penuh bermotivasi selepas mencatat rekod 425 permulaan Grand Prix.
F1 memasuki era enjin baharu musim ini dan Aston Martin juga memulakan langkah baharu dengan enjin Honda menggantikan Mercedes sebagai pembekal enjin.
Jentera AMR26 merupakan yang pertama untuk pasukan yang berpangkalan di Silverstone di bawah kepimpinan pereka yang memenangi pelbagai gelaran Adrian Newey dan bimbingan teknikal bekas ahli pasukan Ferrari, Enrico Cardile.
Alonso, yang kali terakhir memenangi perlumbaan pada tahun 2013 ketika bersama Ferrari, memenangi gelarannya bersama Renault pada tahun 2005 dan 2006.
Aston Martin menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh tahun lalu dan memulakan musim ini agak perlahan dengan jentera baharu mereka tiba lewat ketika sesi “shakedown” di Barcelona baru-baru ini.
Alonso berkata, pasukan itu mungkin akan memulakan musim 24 perlumbaan dengan mencabar tetapi berharap dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik pada separuh masa kedua dengan beberapa ‘perlumbaan istimewa’.
Rakan sepasukan, Lance Stroll berkata, kesabaran diperlukan sebelum menilai pasukan Aston Martin musim ini memandangkan banyak perubahan yang dihadapi pasukan sepanjang luar musim.
Pemandu Kanada itu berkata, dia yakin bahawa peralatan telah disediakan untuk pasukan membuat usaha yang serius dan cuba menyasarkan kemenangan perlumbaan dan kejuaraan dalam masa terdekat.