JMR raih podium perlumbaan Bathurst di Australia

Foto Johor Racing

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih podium kelas Pro-Am pada perlumbaan ketahanan Bathurst 12 Hour bersempena pusingan pembukaan Intercontinental GT Challenge di Litar Mt Panorama, Australia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kereta No.99 JMR dengan Chevrolet Corvette Z06 GT3.R tamat di tempat kedua kelas Pro-Am.
  • Pencapaian dianggap hasil kerja keras pasukan dan detik bermakna keluarga diraja Johor.
  • Satu jentera JMR dalam kelas Pro terpaksa menarik diri kerana masalah mekanikal.
  • Kejayaan memberi semangat untuk pusingan seterusnya di Nürburgring dengan sasaran podium dan kemenangan.

Menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, kereta No.99 JMR menamatkan perlumbaan di tempat kedua kelas Pro-Am selepas mengharungi 12 jam perlumbaan penuh cabaran dan insiden, sekali gus mengesahkan keupayaan pasukan dalam saingan peringkat antarabangsa.

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan serta detik bermakna apabila dapat berkongsi kejayaan podium bersama adiknya, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, pada penampilan sulung di Bathurst.

“Alhamdulillah kita baru habis Bathurst 12 Hour 2026. Amat bangga dengan pasukan kami. Mereka telah bekerja sangat keras untuk berada di sini.

“Tahun ini Alhamdulillah kita datang dengan dua kereta. Kereta lagi satu tak ada rezeki. Saya betul bersyukur dan bangga dapat berlumba bersama dengan adik saya Tunku Abu Bakar.

“Kali pertama dia buat Bathurst 12 jam dan terus dapat podium. Insya-Allah kalau ada rezeki tahun depan kami akan buat lagi,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi jentera JMR dalam kelas Pro terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal ketika sedang bersaing bagi kedudukan podium keseluruhan.

Kemenangan itu menyaksikan JMR mendapat suntikan semangat menjelang pusingan seterusnya Intercontinental GT Challenge di Nürburgring, Jerman pada Mei depan dengan sasaran untuk terus memburu podium dan kemenangan sulung keseluruhan.