Jepun ungguli papan salji Olimpik Musim Sejuk 2026, raih sembilan pingat

FOTO REUTERS

MILAN, 21 Februari – Jepun mendominasi acara papan salji pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 apabila meraih sembilan pingat keseluruhan sekali gus muncul pendahulu carta pingat sukan itu buat kali pertama dalam sejarah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jepun muncul pendahulu carta pingat papan salji Milano Cortina 2026 dengan sembilan pingat keseluruhan.
  • Kontinjen meraih empat emas, dua perak dan tiga gangsa dalam enam acara yang dipertandingkan.
  • Keberhasilan disifatkan hasil sistem latihan mantap dan pendekatan kejurulatihan yang terus ditambah baik.
  • Dedikasi dan komitmen luar biasa atlet dianggap kunci utama kejayaan berterusan.

Kontinjen negara Matahari Terbit itu membawa pulang empat emas, dua perak dan tiga gangsa menerusi enam acara yang dipertandingkan di temasya Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026.

Pemenang pingat emas acara Big Air lelaki, Kira Kimura berkata kejayaan tersebut berpunca daripada sistem latihan yang mantap serta pendekatan kejurulatihan yang sentiasa ditambah baik saban tahun.

“Saya fikir kejayaan meraih begitu banyak pingat bergantung kepada persekitaran latihan ketika luar musim dan teknik jurulatih yang terus berkembang setiap tahun. Ia membuktikan atlet Jepun sangat kuat,” katanya pada sidang media di Milan selepas semua acara papan salji melabuhkan tirai di pusat peranginan, Livigno.

Sementara itu, pemenang pingat emas Big Air wanita, Kokomo Murase yang turut meraih gangsa acara slopestyle, menyifatkan dedikasi luar biasa atlet sebagai kunci utama kejayaan.

“Antara faktor utama ialah komitmen semua atlet yang berlatih dengan sangat gigih, jauh melebihi apa yang dibayangkan ramai. Hasil usaha dan pengorbanan itulah kami berjaya membawa pulang sembilan pingat,” katanya.

Untuk rekod, Jepun gagal meraih sebarang pingat ketika papan salji membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998 di Nagano. Ketika itu hanya empat acara dipertandingkan, namun jumlahnya kini berkembang kepada 11 acara.

Jepun mula meraih pingat pertama dalam sukan itu pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 sebelum mencipta sejarah baharu di Milano Cortina 2026.-REUTERS