
GUADALAJARA, 27 Mac – Hasrat Jamaica untuk menamatkan kemarau penampilan di pentas Piala Dunia sejak 1998 kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan New Caledonia 1-0 dalam aksi separuh akhir play-off Piala Dunia di Stadium Guadalajara.
- Jamaica bakal berdepan DR Congo pada 26 Mac untuk tentukan slot terakhir ke Piala Dunia 2026.
- Pemenang melengkapkan Kumpulan K yang dianggotai Portugal, Colombia dan Uzbekistan.
- Penyerang muda Bailey Cadamarteri menjaringkan gol tunggal pada minit ke-18.
- New Caledonia (ranking ke-150) tampil dengan semangat juang tinggi, hampir mengejutkan melalui serangan balas.
Kemenangan tersebut menyaksikan Jamaica bakal berdepan Republik Demokratik (DR) Congo pada 26 Mac bagi menentukan slot terakhir ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
Pemenang perlawanan itu akan melengkapkan carta Kumpulan K yang sudah dihuni oleh gergasi bola sepak dunia, Portugal, serta Colombia dan Uzbekistan.
New Caledonia yang menduduki ranking ke-150 dunia, tampil dengan semangat juang tinggi malah pasukan itu hampir mengejutkan Jamaica dalam beberapa serangan balas pantas.
Dalam aksi tersebut, penyerang muda Jamaica, Bailey Cadamarteri, muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-18.
Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma padu Ronaldo Webster yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol New Caledonia, Rocky Nyikeine, sebelum Cadamarteri pantas menyambar bola muntah tersebut.
New Caledonia berpeluang menyamakan kedudukan pada awal babak kedua, namun Georges Gope-Fenepej gagal memanfaatkan hantaran lintang tepat di hadapan gawang.
Keputusan kekal hingga tamat perlawanan. – REUTERS