Insiden bakar suar: Dr Taufiq serah kepada pihak berkuasa sebelum ambil tindakan

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari/RTM

PUTRAJAYA, 3 Januari – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memberi jaminan bahawa insiden penyokong Selangor FC membakar suar di Jambatan Kuala Terengganu baru-baru ini akan disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebarang tindakan hanya boleh diambil selepas siasatan selesai dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

“Bagi saya berkenaan dengan insiden tersebut saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa supaya pihak berkuasa dapat menjalankan tugasan dan siasatan, selagi mana ia masih dalam siasatan tidak akan ada yang terlepas, tidak akan ada yang boleh terlepas dari hukuman dan sebagainya.

“Jadi saya serahkan sepenuhnya pada pihak berkuasa untuk menyiasat terlebih dahulu kemudian dapatkan hukuman sesuai dengan apa yang diperuntukan dalam undang-undang” katanya sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Menteri di Jabatan perdana menteri (hal ehwal agama), Dr. Zulkifli Hasan di Putrajaya.

Mengulas cadangan pengharaman individu terlibat daripada memasuki stadium pada masa hadapan,beliau menyatakan keputusan muktamad hanya boleh dibuat selepas hasil siasatan diperoleh.

“Itu saya masih menunggu keputusan hasil siasatan itu terlebih dahulu” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkasa program pembangunan belia sebagai langkah pencegahan jangka panjang bagi membendung gejala negatif dalam kalangan anak muda.

Semalam, seramai 33 penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di jambatan berkenaan, Ahad lepas.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mereka adalah antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi bagi menjalani saringan air kencing.