Indonesia Masters: Pearly-Thinaah mara ke suku akhir

Foto Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari– Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2026 selepas menyingkir wakil Taiwan, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly Tan dan Thinaah mara ke suku akhir Indonesia Masters selepas menewaskan pasangan Taiwan, mudah dalam dua set.
  • Man Wei Chong dan Tee Kai Wun juga layak ke suku akhir selepas kemenangan sengit tiga set ke atas wakil India.
  • Lee Zii Jia tersingkir awal manakala beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yi tewas, menimbulkan cabaran bagi kontinjen negara.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, pasangan di kedudukan kedua dunia itu mudah menewaskan Xiao Min-Yu Qiao, 21-13, 21-12 dalam masa 48 minit.

Menanti Pearly-Thinaah di suku akhir ialah gandingan Korea Selatan, Kim Yu Jung-Lee Yu Lim.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan India, Hariharan Amsakarunan-M R Arjun, 21-17, 9-21, 21-16 dalam masa 54 minit.

Cabaran getir menanti Wei Chong-Kai Wun di suku akhir esok apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang juga nombor tujuh dunia.

Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa juga melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pilihan keenam kejohanan dari Kanada, Michelle Li, 21-14, 21-14.

Berbeza nasib bagi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang terpaksa pulang awal apabila ditewaskan pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul, 21-15, 17-21, 8-21.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yi turut tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 13-21, 19-21. -BERNAMA