Igor Tudor dijangka kendali Spurs sehingga akhir musim

Igor Tudor dilantik mengendalikan Tottenham Hotspur sehingga akhir musim /REUTERS

LONDON, 14 Februari – Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dilaporkan bakal melantik Igor Tudor sebagai pengurus interim sehingga akhir musim selepas pemecatan Thomas Frank, menurut laporan pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tudor dijangka dilantik sebagai pengurus interim Tottenham sehingga akhir musim.
  • Beliau mencapai persetujuan lisan dan perjanjian dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
  • Tudor mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa kelab besar termasuk Juventus dan Marseille.
  • Tugasnya ialah memperbaiki kedudukan pasukan yang kini lima mata di atas zon penyingkiran.

Tudor dilaporkan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Tottenham, dan kelab itu dijangka memuktamadkan perjanjian tersebut dalam masa terdekat.

Jurulatih berusia 47 tahun itu dipecat oleh Juventus Oktober lepas selepas lapan perlawanan tanpa kemenangan menyebabkan kelab Itali itu bergelut di tangga kelapan Serie A.

Beliau sebelum ini turut pernah mengendalikan Lazio, Marseille, Hellas Verona, Hajduk Split, Galatasaray dan Udinese.

Ketika di Juventus, Tudor berjaya membimbing Juventus menamatkan saingan di tempat keempat selepas hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan pertamanya sebagai jurulatih.

Apabila pelantikannya disahkan, bekas pertahanan Croatia itu akan diberi tugas memperbaiki kedudukan pasukan yang ditinggalkan oleh Thomas Frank, yang dipecat pada Rabu selepas kekalahan 2-1 kepada Newcastle United sehari sebelumnya.

Tottenham kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Frank, yang dilantik dari Brentford tahun lalu selepas pemecatan Ange Postecoglou, menerima padah susulan prestasi hambar dengan hanya dua kemenangan dalam 17 perlawanan liga.

Tottenham sebelum ini turut dikaitkan dengan bekas pengurus Borussia Dortmund, Edin Terzic, serta bekas pengurus RB Leipzig, Marco Rose, sebelum dilaporkan menyatakan persetujuan dengan Tudor.

Perlawanan seterusnya adalah pertembungan setempat menentang pendahulu liga, Arsenal, di laman sendiri pada 22 Februari. – AFP