
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 menjejaskan peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir.
- Kegagalan rayuan di CAS menyebabkan kehilangan mata penting dan menjejaskan peluang kelayakan.
- Baki perlawanan, termasuk menentang Vietnam, kini tidak lagi memberikan kelebihan besar kepada skuad negara.
- Situasi ini mencerminkan kelemahan pengurusan akibat tindakan terburu-buru tanpa asas kukuh.
- Perlu perubahan drastik: pelan pembangunan akar umbi 10 hingga 15 tahun dan pihak bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa, berkata hukuman itu berpunca daripada kegagalan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sekali gus menyebabkan kehilangan mata penting.
“Ini rentetan daripada kegagalan rayuan di CAS. Hukuman AFC ini memberi kesan besar hingga menjejaskan peluang kita ke Piala Asia walaupun masih ada baki perlawanan,” katanya.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan baki aksi termasuk menentang Vietnam tidak lagi memberi kelebihan besar kepada skuad negara.
Beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai kekurangan pengurusan akibat tindakan terburu-buru tanpa asas kukuh.
“Keghairahan untuk menjadi kuasa besar bola sepak Asia akhirnya memakan diri dan menjadi antara episod paling hitam dalam sejarah bola sepak negara,” katanya.
Mohd Sadek menggesa perubahan drastik dalam struktur pengurusan serta penekanan kepada pembangunan akar umbi secara menyeluruh.
“Kita perlu kembali kepada asas dengan pelan pembangunan jangka panjang sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun untuk memulihkan semula maruah bola sepak negara,” katanya.
Beliau turut menuntut pihak bertanggungjawab tampil memikul implikasi kesilapan berkenaan demi memulihkan kredibiliti bola sepak negara.
Pada masa sama, beliau menyifatkan insiden itu sebagai pengajaran penting agar pembangunan sistematik tidak diabaikan.