Hatrik Benzema bantu Al Ittihad raih kemenangan bergaya

Benzema meraikan jaringan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 permainan/foto REUTERS

BURAIDAH, 10 Januari – Karim Benzema meledak hatrik pada separuh masa pertama untuk membantu Al Ittihad mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Al Kholood dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Benzema menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama untuk membantu Al Ittihad menang bergaya 4-0.
  • William Troost-Ekong dilayangkan kad merah awal selepas tindakan terhadap Benzema, memudahkan dominasi Al Ittihad.
  • Kemenangan menaikkan Al Ittihad ke tangga kelima dengan 26 mata daripada 13 perlawanan.

Penyerang veteran Perancis itu membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menaik taraf kad kuning kepada kad merah terhadap pemain pertahanan Al Kholood, William Troost-Ekong, kerana mengasari Benzema.

Benzema kemudian menambah gol kedua pada minit ke-28 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-35, menyempurnakan hantaran leret Moussa Diaby. Sekali gus meletakkan Al Ittihad selesa mendahului sebelum rehat.

Sementara itu, Saleh Al Shehri menambah gol keempat pada lewat perlawanan bagi melengkapkan kemenangan pasukan pelawat.

Al Kholood terpaksa bermain dengan 10 pemain seawal minit kelapan selepas Troost-Ekong dilayangkan kad merah.

Kemenangan itu menyaksikan Al Ittihad naik ke tangga kelima liga dengan 26 mata hasil 13 perlawanan, mencatat lapan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. Berbeza sembilan mata berbanding pendahulu Al-Hilal yang mengumpul 35 mata.

Al-Kholood pula kekal di kedudukan ke-12 dengan 12 mata. – REUTERS