Hakim Danish sedia gegar kempen perlumbaan musim ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Febuari Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memulakan kempen perlumbaan musim ini dengan langkah berhati-hati apabila masih mencari rentak pada hari pertama Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim Danish memulakan musim Moto3 dengan langkah berhati-hati sambil masih mencari rentak di GP Thailand.
  • Catatan masa pagi dan petang menunjukkan peningkatan, namun kedudukan keseluruhan masih di luar kelompok teratas.
  • Penglibatan musim penuh selepas penampilan wildcard dan penggantian musim lalu menandakan potensi besar di pentas dunia.

Pelumba berusia 18 tahun itu bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI mencatat masa terbaik 1 minit 42.584 saat pada sesi pagi latihan bebas untuk menamatkan saingan di tangga ke-17 daripada 26 pelumba.

Pada sesi petang, beliau memperkemas catatan kepada 1 minit 42.084 saat, namun peningkatan itu belum memadai apabila sekadar berada di kedudukan ke-22 keseluruhan.

Sesi latihan dikuasai David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP dengan masa terpantas 1 minit 40.990 saat, diikuti Alvaro Carpe dari Red Bull KTM Ajo (1 minit 41.068 saat) dan pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone (1 minit 41.194 saat).

Aksi di Thailand ini menandakan perlumbaan pertama Hakim Danish sebagai pelumba musim penuh dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

Musim lalu, beliau mencuri perhatian apabila diberi peluang beraksi dalam tiga pusingan termasuk GP Malaysia menerusi tiket ‘wildcard’, selain menggantikan Ryusei Yamanaka di GP Portugal dan GP Valencia.

Walaupun gagal menamatkan perlumbaan di Sepang akibat terjatuh, Hakim Danish bangkit meraih mata di Eropah apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 di Portugal dan ke-14 di Valencia, sekali gus petanda awal potensi besarnya di pentas dunia.