
SEMENYIH 13 Februari – Bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin optimis terhadap potensi pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli menjelang pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hujung bulan ini.
- Zulfahmi optimis Hakim Danish mampu jadi pencabar Moto3 musim ini walaupun persiapan pramusim terjejas.
- Pasukan ambil pendekatan konservatif semasa ujian akibat trek licin untuk elak jatuh dan lengkapkan pusingan.
- Harapan sekurang-kurangnya satu podium musim ini berdasarkan potensi dan perkembangan rakan seangkatan.
- Persaingan kini lebih ketat, ramai pelumba berubah pasukan jadi sukar nilai kekuatan sebenar.
Zulfahmi yang juga Pengurus ZK Racing mengakui meskipun persiapan sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal tidak berjalan seperti dirancang apabila akibat hujan pasukan tetap mengambil pendekatan konservatif sebagai langkah persediaan awal musim.
“Dalam keadaan trek licin, kita tidak boleh mencuba terlalu banyak tetapan.
“Fokus utama cuma melengkapkan pusingan dan pastikan tidak jatuh, supaya kita bersedia untuk perlumbaan pertama nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Anytime Fitness Club di sini, hari ini.
Menurut Zulfahmi, pendekatan risiko terkawal itu penting bagi memastikan kestabilan pasukan menjelang aksi pembuka tirai, selain memberi ruang kepada pelumba muda itu menyesuaikan diri dengan suasana sebenar perlumbaan.
Meskipun tidak menetapkan sasaran spesifik bagi perlumbaan pertama, beliau berharap Hakim Danish mampu sekurang-kurangnya meraih satu podium musim ini.
Beliau berkata, tahap persaingan ketika ini semakin tinggi apabila beberapa bekas pesaing Hakim Danish di Red Bull MotoGP Rookies Cup sudah mencipta kemenangan dan podium di pentas lebih besar.

“Tahap sekarang sangat tinggi. Kita tengok pelumba yang pernah berlumba dengan Hakim sebelum ini sudah boleh menang dan naik podium, jadi kita harapkan perkara sama boleh berlaku,” katanya.
Pada masa sama, beliau enggan terlalu awal menilai kekuatan sebenar barisan pelumba musim ini memandangkan ramai yang berpindah pasukan dan masih dalam fasa penyesuaian.
“Kita tidak tahu lagi siapa yang betul-betul kuat tahun ini. Tetapi saya yakin dengan potensi Hakim, dia boleh jadi salah seorang pencabar dalam Moto3,” katanya.
Terdahulu, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish, 18, bakal membuat penampilan sulung MotoGP musim ini bersama MSi Racing Team.