
RAWANG, 25 Januari – Seramai 119 peserta menyertai program Golf Amal Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club di sini malam tadi.
- Inisiatif anjuran YRMS dan AMAL fokus bantu belia kurang akademik peroleh latihan kemahiran melalui program TVET.
- Hasil kutipan sumbangan digunakan untuk pembangunan belia di bawah Yayasan Raja Muda Selangor.
- Kehadiran Raja Muda Selangor dan tokoh sukan menyerikan program serta beri sokongan moral kepada peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata, inisiatif anjuran bersama Persatuan Kesejahteraan Amal Kuala Lumpur (AMAL) itu adalah untuk membantu anak-anak Selangor bagi mendapatkan latihan kemahiran.
“Di Yayasan Raja Muda Selangor, fokus kami adalah untuk menyantuni golongan belia-belia, golongan remaja yang mungkin tidak berjaya dari segi akademik tetapi kita boleh masukkan mereka ke dalam aliran kemahiran di mana terdapat ramai alumni yang SPM mereka tidak berjaya tetapi berjaya dalam hidup selepas menerima kemahiran yang sesuai.
“Ia juga dapat membantu membina masa depan negara dan masa depan mereka dan keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis penyampaian hadiah program tersebut.
Pada majlis berkenaan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung Diraja YRMS turut menghadiri majlis makan malam serta menyempurnakan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan berkenaan.
Hasil kutipan sumbangan pada program itu akan digunakan bagi pembangunan belia di bawah YRMS.
Penubuhan YRMS bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia, khususnya mereka yang kurang cenderung dalam bidang akademik, untuk memperoleh kemahiran menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi membentuk modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdikari serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Program itu turut diserikan dengan penampilan khas bekas pemain bola sepak kebangsaan termasuk Safee Sali, Farizal Marlias, Zaquan Adha, Razman Roslan dan Wan Zack Haikal.