
PARIS, 2 Februari – Paris Saint-Germain (PSG) kembali menguasai tangga teratas Ligue 1 selepas menewaskan Strasbourg 2-1 pada Ahad.
- Nuno Mendes menjaringkan gol kemenangan lewat untuk memastikan PSG kembali di puncak liga.
- PSG beraksi dengan 10 pemain selepas Achraf Hakimi dilayangkan kad merah pada minit ke-74.
- Matvei Safonov menafikan sepakan penalti yang boleh memberi Strasbourg kelebihan awal.
- PSG kini mendahului liga dengan dua mata ke atas Lens selepas kemenangan 2-1.
Pemain pertahanan, Nuno Mendes muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan yang menyaksikan PSG terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Achraf Hakimi dilayangkan kad merah.
Beraksi sebagai di laman sendiri, Strasbourg berpeluang membuka jaringan selepas diberikan sepakan penalti susulan semakan VAR mendapati kapten PSG, Marquinhos, menghalang percubaan dengan tangan.
Namun, sepakan berkenaan berjaya digagalkan oleh penjaga gol PSG, Matvei Safonov.
PSG kemudiannya mendahului perlawanan menerusi jaringan Senny Mayulu pada minit ke-22.
Strasbourg kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Guela Doue,
Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Luis Enrique itu beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-74 selepas bintang Maghribi, Achraf Hakimi, dilayangkan kad merah susulan terjahan keras terhadap Panichelli.
Keputusan itu menyaksikan PSG kini mendahului liga dengan kelebihan dua mata ke atas Lens, yang menewaskan Le Havre 1-0 pada Jumaat.
“Kami bernasib baik untuk memenangi perlawanan ini ketika ramai menyangka ia hampir mustahil,” kata Luis Enrique.
“Ia bukan persembahan terbaik kami. Pada akhirnya saya tidak pasti sama ada kami layak menang atau tidak, tetapi kemenangan ini amat penting.”
Bagi Strasbourg, kekalahan itu merupakan yang pertama dalam empat perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu dari England, Gary O’Neil, yang dilantik bulan lalu selepas Liam Rosenior berhijrah ke Chelsea.
Mereka kekal di tangga ketujuh, namun hanya ketinggalan dua mata di belakang Lille di tempat kelima.
“Saya amat bangga dengan pasukan, tetapi sangat kecewa kerana kami entah bagaimana menemui cara untuk tewas, sedangkan saya merasakan kami bermain cemerlang dan mencipta peluang yang lebih baik,” kata O’Neil.
“Ramai pasukan kalah kepada PSG hanya dengan bertahan, tetapi kami kekal bersaing sepanjang perlawanan. Ia memberi keyakinan bahawa kami mampu bangkit semula”, ujarnya. – AFP