Friend anggap keputusan CAS tidak seimbang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) melibatkan kes tujuh pemain kebangsaan adalah mengecewakan meskipun terdapat pengurangan terhadap bentuk sekatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Friend berkata hujah rayuan sepatutnya memberi asas kukuh untuk keputusan yang berbeza.
  • Pemain menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti sepanjang keseluruhan proses.
  • Hukuman dianggap berlebihan dan tidak seimbang berbanding beberapa kes terdahulu.
  • Friend menyeru sokongan penuh menjelang aksi menentang Vietnam agar pasukan lebih kuat dan bersatu.

Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend berkata berdasarkan hujah yang dikemukakan sepanjang prosiding rayuan sepatutnya memberikan asas kukuh untuk keputusan yang berbeza.

Pemain juga menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti sepanjang keseluruhan proses berkenaan.

“Pada pandangan kami, hukuman yang dikenakan terhadap pemain adalah berlebihan dan tidak seimbang berbanding beberapa kes terdahulu yang melibatkan situasi hampir sama, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan.

“Ini merupakan tempoh yang amat sukar buat pemain dan kelab mereka yang memberikan sokongan penuh meskipun tiada kaitan dengan isu asas yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Malaysia NT.

Sementara itu menerusi catatan sama, Friend menegaskan tanggungjawab mereka ketika ini adalah memberikan sokongan penuh kepada pemain dalam menjelang aksi menentang Vietnam (kelayakan Piala Asia 2027).

“Ini bagi memastikan pasukan bola sepak Malaysia lebih kuat dan bersatu daripada pengalaman yang ada,” katanya.

Untuk rekod, tujuh pemain terbabit adalah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.