
Petaling Jaya, 6 Mac – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima keputusan rasmi daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan oleh badan induk itu serta tujuh orang pemain kebangsaan.
- CAS menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia.
- Mahkamah menerima sebahagian rayuan pemain; penggantungan lapan bulan kekal.
- Alasan penuh keputusan masih belum dikeluarkan; FAM akan meneliti butiran sebelum komen lanjut.
- FAM hormati bidang kuasa CAS tetapi anggap hukuman tidak seimbang dan akan menilai semula.
Menerusi keputusan tersebut, CAS telah menolak rayuan dikemukakan oleh FAM.
Manakala bagi rayuan para pemain, mahkamah menerima permohonan tersebut secara sebahagian dengan meminda hukuman asal, namun mereka tetap dikenakan penggantungan daripada beraksi selama lapan bulan lagi.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa alasan penuh bagi keputusan tersebut masih belum dikeluarkan.
Sebarang ulasan lanjut mengenai merit kes hanya akan dibuat selepas butiran terperinci keputusan diteliti sepenuhnya oleh pihak persatuan.
“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun berpandangan bahawa hukuman yang dikenakan adalah tidak seimbang sekiranya dibandingkan dengan kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh mahkamah tersebut sebelum ini. Kami akan menilai perkara ini dengan lebih mendalam setelah memperoleh keputusan penuh,” jelas kenyataan itu.
Sepanjang prosiding berjalan, FAM menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan penyeliaan yang berlaku.
Ketika ini, siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) masih dijalankan, dan FAM komited memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa berkaitan.
Pihak persatuan menyifatkan keputusan ini sebagai amat mengecewakan, khususnya bagi para pemain yang terlibat.
FAM menegaskan bahawa pemain terbabit tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau penglibatan dalam proses pentadbiran, selain menekankan mereka merupakan warganegara Malaysia yang sah di bawah peruntukan undang-undang negara.
Di sebalik perkembangan ini, FAM merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh sukar ini dan menegaskan bahawa pasukan kebangsaan akan kekal fokus terhadap objektif utama demi kemajuan bola sepak tanah air.