FAM sah batal kejohanan futsal, bola sepak pantai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan penganjuran tiga kejohanan futsal dan bola sepak pantai peringkat kebangsaan bagi musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAM batalkan tiga kejohanan futsal dan bola sepak pantai musim ini kerana penyelarasan kalendar serta komitmen pasukan.
  • Pembatalan disebabkan kekangan logistik dan infrastruktur, bukan bermakna mundur, tetapi langkah strategik perancangan.
  • FAM akan menilai dan struktur semula pertandingan selepas rundingan dengan pihak berkepentingan untuk pembangunan jangka panjang.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penyelarasan kalendar pertandingan.

FAM menerusi kenyataan memaklumkan, faktor lain yang menyumbang kepada keputusan itu ialah komitmen pasukan yang terlibat, selain kekangan aspek logistik serta infrastruktur.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak negara itu menegaskan pembatalan berkenaan bukan langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai, sebaliknya satu pendekatan strategik bagi memperkukuh perancangan masa depan.

“Ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

“FAM sedang menilai semula struktur pertandingan bagi futsal dan bola sepak pantai supaya ia selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta standard pertandingan yang lebih kompetitif,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, FAM memaklumkan pihaknya akan memperincikan pelan penstrukturan semula pertandingan futsal dan bola sepak pantai selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan.

Terdahulu, media melaporkan pembatalan tiga kejohanan utama iaitu Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan bagi musim ini.