
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Hasrat pelumba berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk meraih pingat emas keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay City Velodrome, Filipina hari ini tidak kesampaian.
- Muhammad Fadhil Mohd Zonis tamat di tempat keempat acara keirin lelaki, di belakang pemenang emas Xie Han dari China.
- China menguasai dua tempat teratas dengan Xie Han emas dan Li Zhiwei perak, manakala Kang Shih Feng dari Taiwan meraih gangsa.
- Nurul Izzah Izzati tersingkir pada final keirin; Yuan Liying menang emas, Wang Lijuan perak, Haruka Nazakawa gangsa.
- Nur Umairah Qhaisara raih perak acara pecut wanita junior; Sawda Hasbullah tewas dalam perebutan gangsa.
Pelumba berusia 28 tahun itu sebaliknya mengakhiri saingan di tangga keempat di belakang juara dari China Xie Han.
Rakan senegara Han, Li Zhiwei memastikan China menguasai dua tempat teratas acara tersebut dengan memenangi pingat perak manakala Kang Shih Feng dari Taiwan terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
Pemenang emas keirin lelaki Sukan SEA 2025 Muhammad Ridwan Sahrom pula sekadar muncul pelumba kelapan terbaik secara keseluruhan bagi saingan menentukan tempat ketujuh hingga ke-12.
Dalam pada itu, hasrat Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk mempertahankan pingat emas keirin tidak kesampaian selepas tersingkir pada aksi final.
Berdasarkan keputusan rasmi, pelumba diberi julukan ‘The Pocket Rocketwoman’ itu disyaki memasuki laluan pecutan semasa pencabar telah berada di laluan berkenaan.
Yuan Liying dari China merampas emas tersebut daripada Nurul Izzah, manakala rakan sepasukannya Wang Lijuan membawa pulang perak manakala gangsa menjadi milik Haruka Nazakawa dari Jepun.
Di sebalik keputusan menghampakan skuad elit negara, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menyinar dengan pingat perak tewas menentang Park Hyerin dari Korea Selatan bagi perebutan emas pecut wanita junior.
Seorang lagi pelumba negara Sawda Hasbullah pula gagal menyambar gangsa selepas tewas menentang Yunchae Kang dari Korea Selatan bagi acara sama.
Kejohanan ACC 2026 yang bermula semalam berakhir 31 Mac ini. – BERNAMA