El Hammamy, Asal juara TOC 2026

Pemain squasy Mesir, Hania El Hammamy (kiri) dan Mostafa Asal (kanan) di Tournament of Champions (TOC) 2026 di New York/foto REUTERS

NEW YORK, 30 Januari – Mesir meraih kegembiraan berganda apabila dua pemain squasy nombor satu dunia negara itu, Hania El Hammamy dan Mostafa Asal, masing-masing dinobatkan sebagai juara Tournament of Champions (TOC) 2026 di New York, lewat Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hania El Hammamy menang ToC 2026 wanita selepas bangkit menang lima set dramatik ke atas Olivia Weaver.
  • El Hammamy kekal tanpa kalah ke atas Weaver dan pertahankan gelaran ToC, jadi pemain wanita keempat berbuat demikian.
  • Mostafa Asal juara kategori lelaki ToC 2026 dengan kemenangan straight set ke atas Paul Coll.
  • Kejayaan Asal dan El Hammamy mengukuhkan dominasi Mesir dalam squash sebelum Jelajah PSA ke Windy City Open.

Dalam aksi akhir wanita, El Hammamy, mempamerkan ketahanan mental luar biasa untuk menewaskan pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver, dalam perlawanan lima set yang penuh dramatik. Kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah El Hammamy ke atas Weaver dalam jelajah PSA.

Pemain berusia 25 tahun itu bangkit cemerlang pada set penentuan apabila berjaya memenangi lapan mata berturut-turut selepas ketinggalan 3-9, sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 11-7, 5-11, 11-9, 5-11, 11-9.

Kejayaan itu menjadikan El Hammamy sebagai pemain wanita keempat dalam sejarah yang berjaya mempertahankan gelaran Tournament of Champions.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Mostafa Asal tampil dominan apabila mencatat kemenangan straight set ke atas pemain nombor dua dunia dari New Zealand, Paul Coll, dengan keputusan 11-6, 11-1, 11-4.

Asal, yang kali terakhir kehilangan satu set pada Oktober lalu, langsung tidak memberi ruang kepada Coll sepanjang perlawanan yang berlangsung selama 58 minit di gelanggang kaca ikonik Grand Central Station, New York.

Prestasi cemerlang itu mengukuhkan status Asal sebagai pemain nombor satu dunia, selepas mempamerkan penguasaan sepenuhnya terhadap lawan di pentas akhir.

Selepas ini, Jelajah PSA akan diteruskan di Chicago menerusi kejohanan Windy City Open 2026 bertaraf Platinum, yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 11 Februari. – REUTERS