Disiplin tinggi pemain bawa Sabah ke pentas akhir Piala Cabaran – Garrido

Garrido gembira pasukannya berjaya terjemahkan perancangan taktikal ke dalam permainan / RTM

KOTA KINABALU, 12 Mac – Sabah FC melakar sejarah apabila berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Cabaran MFL 2026 buat kali pertama selepas menewaskan Perak FA 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garrido puji disiplin tinggi pertahanan, berjaya kekalkan rekod tanpa bolos walau jadual padat menjejaskan kecergasan.
  • Perak kecewa walaupun cipta banyak peluang; ketua jurulatih harap pemain bangkit semula.
  • Gol tunggal hasil tandukan Gabriel Peres daripada sepakan percuma Jafri Chew; Sabah akan bertemu Penang FC di final April.

Pasukan tuan melakar agregat yang sama selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Manjung, Perak pada 4 Mac lalu.

Kemenangan itu sekali gus memberi peluang keemasan kepada skuad Sang Badak untuk memburu kejuaraan sulung dalam saingan tersebut musim ini.

Menurut Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, walaupun berdepan jadual padat yang menjejaskan tahap kecergasan, beliau memuji disiplin tinggi barisan pertahanan pasukannya yang berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos.

“Salah satu objektif kami adalah untuk tidak dibolosi, jadi kami cuba mengurangkan sebanyak mungkin jumlah gol yang dilepaskan. Walaupun kami sedikit bergelut untuk menjaringkan gol, sekurang-kurangnya kami tidak dibolosi, dan satu gol itu sudah mencukupi untuk kami layak,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Perak FA, kekalahan tipis itu amat dirasai memandangkan sasaran utama pasukan adalah untuk melangkah ke pentas final.

Ketua Jurulatihnya, Syamsul Mohd Saad mengakui kecewa dengan kegagalan tersebut namun tetap berpuas hati dengan komitmen luar biasa yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

“Kita sebenarnya mencipta peluang yang cukup banyak juga untuk menghasilkan gol. Cuma saya rasa rezeki lebih berpihak kepada Sabah. Saya harap pemain dapat bangkit semula,” menurutnya

Gol tunggal perlawanan terhasil pada babak pertama menerusi tandukan Gabriel Peres hasil hantaran sepakan percuma Jafri Chew.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan kerap melancarkan serangan, namun ketangkasan penjaga gol dan kekentalan benteng pertahanan menyaksikan tiada tambahan gol dihasilkan sehingga wisel penamat.

Sabah FC bakal berdepan pasukan Penang FC pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada bulan April.