Dembele meledak hatrik, Perancis muncul juara Kumpulan I

Foto AFP

FOXBOROUGH, 27 Jun – Perancis mengesahkan status juara Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Norway 4-1 di Stadium Boston, di sini sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dembele meledak hatrik pada babak pertama, jadi wira Les Bleus.
  • Desire Doué menjaringkan gol keempat pada minit ke-94, gol sulungnya di Piala Dunia.
  • Mike Maignan cemerlang menyelamatkan penalti Andreas Schjelderup Larsen, menjadi detik penting perlawanan.
  • Kylian Mbappé tidak menjaringkan gol tetapi jadi pembuat peluang, mengalih perhatian pertahanan Norway kepada Dembele.

Ousmane Dembele muncul wira Les Bleus apabila meledak hatrik pada babak pertama sebelum Desire Doué melengkapkan kemenangan menerusi gol keempat pada masa kecederaan.

Norway memperoleh gol sagu hati menerusi Asgard, namun gagal mengekang penguasaan Perancis yang mendominasi aksi separuh masa pertama dengan serangan bertali arus.

Selepas mendahului 3-1, Perancis memperlahankan tempo permainan pada babak kedua, manakala Norway lebih berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan menjelang pusingan kalah mati.

Peluang Norway untuk merapatkan jurang tidak kesampaian apabila penjaga gol Perancis, Mike Maignan, cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Andreas Schjelderup Larsen, sekali gus menjadi detik penting perlawanan.

Doué kemudian menambah derita Norway menerusi jaringan pada minit ke-94 hasil hantaran Kylian Mbappe, sekali gus meraikan gol sulungnya dalam penampilan pertama di pentas Piala Dunia.

Mbappe tidak menemui jaringan, namun penyerang itu tetap memainkan peranan penting sebagai pencipta peluang apabila berjaya mengalih tumpuan pertahanan Norway kepada Dembele.

Jurulatih Norway turut merehatkan beberapa tonggak termasuk Erling Haaland dan Martin Odegaard sebagai langkah persediaan menghadapi aksi pusingan kalah mati.

Keputusan itu menyaksikan Perancis menamatkan saingan selaku juara Kumpulan I, manakala Norway mara sebagai naib juara dan dijadual menentang Ivory Coast pada pusingan 16 terbaik.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.